MERCEDES-BENZ A250 4MATIC AMG LINE, AKU MEMANG GANASSSSS
Awal pada bulan januari yang lepas, kami telah memandu uji Mercedes-Benz A200 Progressive Line dengan penawaran harga sekitar RM 238,888. Ia merupakan sedan bergaya, berkuasa dan menjimatkan bahan api serta berupaya mencatatkan purata 18km bagi setiap liter petrol.
Tapi dari segi penggayaan luar, ia mungkin sesuai untuk pengawas sekolah yang telah bekerja sebagai akauntan, dengan rambut disikat tepi dan bercermin mata tebal. Jika anda seorang yang suka melawan arus, berani dan bersifat rebel Mercedes menawarkan varian A250 4 Matic AMG Line khas untuk anda.
AMG Line atau nama penuhnya merujuk kepada Aufrecht, Melcher, and Großaspach merupakan varian yang lebih berkuasa, lebih sporti, enjin lebih padu dengan sistem brek yang lebih menggigit. Tapi dalam kes ini AMG-Line secara tepatnya adalah sebuah sedan digayakan seakan sedan sport tapi tidaklah ditala secara keterlaluan sehingga anda gugup untuk mengawal stering
Dari segi luaran, AMG Line digayakan dengan lebih sporti menampilkan jeriji depan bertemakan bintang 3 disalut krom, bampar depan depan lengkap dengan ciri “air curtain” untuk mengalihkan angin laju ke arah sisi dan sistem brek.
Rim juga ditukar kepada rim yang lebih besar bersaiz 18 inci 5 bilah lengkap dengan Mercedes Sport Brake dimana cakera depan dibesarkan dan sitambah dengan liang udara “cross drill” untuk penyejukan yang lebih baik. Brek ini menawarkan cengkaman yang stabil biarpun berulang kali perlu membrek dengan agresif
Di bahagian belakang pula, varian A50 diberikan lencana “A250” dan logo “4Matic” iaitu sistem AWD oleh Mercedes. Tapi sayangnya varian ini tidak diberikan ciri paip ekzos berkembar sebaliknya menggunakan “diffuser” tiruan yang sekadar bertindak sebagai hiasan semata-mata.
Sama seperti varian Progressive, bahagian dalam telah dinaiktaraf dengan skrin 10.25 inci yang beroperasi dengan sistem MBUX. Ciri papan sesentuh telah dibuang dan digantikan dengan sambungan Apple Car Play tanpa wayar, Android Auto serta skrin 10.25 inci dikekalkan.
Bagi menyerlahkan imej sporti dan garang, A250 menggunakan kemasa aluminium brushed pada papan pemuka, kemasan microfibre pada pintu, jahitan benang merah pada kusyen yang dibalut dengan kulit dan microfibre.
Varian AMG juga menggunakan stering rekaan tersendiri yang lebih kompleks dan sedap untuk dilihat. Sayangnya tiada pilihan untuk menaiktaraf kepada pembesar suara Burmeister walaupu kualiti bunyi pada speaker asal adalah memuaskan
Kusyen di bahagian belakang pada pendapat penulis terasa sedikit pendek dan tidak rapat dengan lutut penulis manakala bonggol yang wujud di bahagian tengah sedikit merompak ruang dalaman. Anda boleh membesarkan ruang kargo daripada 420 liter kepada 1200 liter dengan melipat kusyen di bahagian belakang.
Sayangnya A250 masih tidak menawarkan ciri kamera 360 darjah, corong penyaman udara di belakang dan juga penyaman udara 2 zon. Tetapi A250 menawarkan ciri lain yang lebih baik, iaitu enjin 2000cc 4 silinder turbo yang lebih berkuasa.
Enjin ini menjana sehingga 221 kuasa kuda dan 350Nm tork dan digandingkan dengan ciri gear DCT 8 kelajuan lengkap dengan ciri paddleshifter berbanding dengan A200 yang menggunakan DCT 7 kelajuan. Kuasa enjin diagihkan pada semua roda melalui ciri 4Matic atau pacuan semua roda jika keadaan memerlukan.
Tetapi pada kebanyakan masa semua kuasa akan dihantar kepada roda depan bagi penjimatan bahan api maksimum. Turut mengukuhkan keupayaan varian AMG ialah ciri “mild hybrid” atau Integrated Stator Generator. ISG akan menggantikan alternator dan disambungkan kepada enjin menggunakan tali sawat.
ISG ini membekalkan kuasa sebanyak 13.8 kuasa kuda dan 150Nm tork bagi mengecas bateri 48 volt. Ini membenarkan enjin 4 silinder ini ditutup jika tiada kuasa enjin tambahan diperlukan dan ciri Start/Stop akan diaktifkan dengan lebih awal bagi menjimatkan minyak.
Dalam sesetengah keadaan, enjin boleh dimatikan selama 10 saat dan kuasa elektrik akan dibekalkan pada kenderaan melalui bateri 48 volt ini. Bagi penulis, penggunaan bahan api sekitar 12.8km/liter dengan kuasa yang ditawarkan dan ciri pacuan semua roda adalah cukup memuaskan.
Apatah lagi lagi Mercedes-Benz A250 menawarkan prestasi yang menyamai Volkswagen Golf GTi dengan pecutan 0-100km/jam dibuat dalam masa 6.4 saat dan kelajuan maksima mencapai 250km/jam. Malah enjin 4 silinder terasa lebih syahdu apabila diperah pada RPM tinggi, seolah-olah meminta anda memerahnya dengan lebih geram
Operasi gear DCT 8 kelajuan juga adalah lancar pada kelajuan tinggi, dengan gandingan sistem 4Matic menawarkan cengkaman yang jitu jika anda melakukan slalom pada kelajuan tinggi. Hanya sedikit sahaja input stering diperlukan untuk memintas kenderaan laju di lebuh raya dan kembali masuk semula ke laluan anda.
Pendek kata, anda boleh memintas pada halaju tinggi dengan sebelah tangan sahaja. Turut menyumbang kepada pengendalian yang dinamik ini ialah penggunaan Lowered Comfort Suspension yang merendahkan A250 sehingga memiliki jarak kelegaan bumi sekitar 112mm sahaja, sekaligus merendahkan pusat graviti bumi.
Walaupun rendah, ia tidak menyebabkan anda terhenjut henjut seperti menaiki kuda padi atau Wira lama yang dipasang dengan spring sport. Ia masih lagi selesa pada halaju tinggi di lebuh raya dengan jarak antara roda 2729mm mengurangkan pergerakan “pitch” kenderaan.
Malah pada hemat penulis, A250 yang menggunakan sistem MultiLink dengan tayar siri 45 jauh lagi selesa jika dibandingkan dengan A200 Progressive yang menggunakan sistem torsion beam yang terasa sedikit keras walaupun menggunakan rim 17 inci dan tayar siri 55
Tapi keadaan ini menyebabkan A250 mudah tergesel dengan speed bump jika anda memandu dengan laju semasa merentasi halangan ini. Selain itu operasi gear DCT 8 kelajuan ini juga tidak berapa lancar jika berhadapan dengan jalanraya sesak dan dipandu perlahan.
Bagi sistem keselamatan, ciri Mercedes Sport Brake juga boleh dipuji dengan tawaran brek yang cukup meyakinkan bila dipandu dengan halaju tinggi. Anda boleh membrek dengan yakin sebelum selekoh, mengambil selekoh dengan tenang bagaikan anda berjalan-jalan di taman bunga.
Brek ini juga bekerjasama rapat dengan sistem AEB yang akan menmberikan amaran keras pada anda sebaik sahaja ia mengesan kenderaan di depan menyalakan lampu brek. Cukup kuat untuk menyedarkan anda bahawa anda sebenarnya “tercucuk” kereta di depan tanpa sengaja.
Tapi ciri ini amat disenangi oleh penulis keran ia menyebabkan penulis peka dengan keadaan sekeliling. Ciri amaran titik buta ditawarkan dengan ciri Amaran Lintasan Trafik Belakang dan juga Safe Exit Warning yang akan memberi amaran sewaktu anda membuka pintu sekiranya ada kereta datang dari arah belakang.
Jadi jika ditanya kepada penulis adakah berbaloi membayar RM 25,000 lebih mahal pada RM 263,888 maka jawapannya ialah berbaloi. Anda mendapat enjin lebih berkuasa, lebih jimat, gear DCT 8 kelajuan, 4Matic, Mercedes Sport Brake dan rekaan yang lebih sporti.