Buletin

MESIN KOPI RS BLACK EDITION. INSPIRASI ENJIN FLAT SIX PORSCHE. RM47K, TERHAD 993 UNIT SAHAJA

Dilancarkan pada tahun 1963, Porsche 911 sudah melalui beberapa generasi. Berbeza dengan kenderaan lain, ia dilihat terus kekal dengan reka bentuk asal yang terus dikagumi hingga ke hari ini.

Jentera itu juga mengekalkan namanya dan terus menjadi kereta sports dengan enjin belakang yang popular di seluruh dunia.   

Setiap generasi 911 membawakan sesuatu yang baru atau mencetuskan kemajuan penting berbanding model terdahulu.

Bagi model 993 yang dihasilkan dari tahun 1994 hingga 1998, ia menjadi model terakhir menggunakan enjin penyejukan udara.

Model itu juga hanya menggunakan 20 peratus komponen daripada 964. Perubahan itu membuatkan 993 sebagai antara model 911 terbaik pernah dihasilkan. Ia menggunakan enjin flat 6 aspirasi penuh kuasa.

Bagi mengingati enjin tersebut, firma Super Veloce telah menghasilkan mesin kopi yang cukup unik. Sebenarnya, Super Veloce memang terkenal dalam menghasilkan mesin kopi yang ultra mahal berbentuk kereta atau pesawat sejak sekian lama.

Mesin kopi yang diberi nama RS Black Edition ditawarkan pada harga €10,000(RM47,000) seunit. Ia mengambil inspirasi enjin flat six Porsche yang diberi tona hitam.

Diperbuat daripada material gred pesawat angkasa dan gentian karbon, binaannya sangat halus. Ia hadir dengan blok enjin, kepala selinder dan penutup cam yang hadir dalam warna hitam satin atau jet black.  

Super Veloce memberitahu mesin kopi berkenaan dihasilkan khas untuk pemuja Porshe. Hanya 993 unit sahaja akan ditawarkan di seluruh dunia.

Google ads
Back to top button