WILL SMITH – PEMANDU LYFT PALING BERGAYA DENGAN PORSCHE TAYCAN TURBO S
Siapa tak kenal dengan Will Smith yang merupakan antara aktor paling terkenal di Hollywood dan kini giat mempromosikan filem terbaru beliau, Bad Boys for Life. Kini filem tersebut sudah pun mencatatkan kutipan melebihi USD100 juta di seluruh dunia. Dalam satu projek terbaru, Smith bergandingan dengan syarikat Lyft (alah macam Grab kat sini) untuk memberikan beberapa orang penumpang bertuah pengalaman yang tidak dapat mereka lupakan.
Penumpang terpilih diberitahu yang mereka diberikan peluang untuk melihat teknologi terkini yang ditawarkan Lyft tetapi sebaik tiba di lokasi, kebanyakannya ternganga bila melihat Smith berada di hadapan mereka bersama sebuah Porsche Taycan Turbo S model terbaru.
Memang kelakar habis reaksi muka para penumpang bila melihat Smith di depan mata. Will Smith ni boh, korang jumpa Aiman Tino pun dah tergedik-gedik macam ulat beluncas kena sawan.
Sayangnya tidak banyak yang diceritakan tentang Porsche tersebut di dalam video itu tetapi dari semasa ke semasa, Smith turut menjelaskan mengenai kereta tersebut dan sekali sekali memecut laju untuk mengusik para penumpang beliau.
Tapi tak boleh nak salahkan penumpang kerana mereka terlebih seronok berjumpa dengan Smith sampai terlupa tentang Porsche terbaru yang mereka naiki. Memang Porsche ni sangat hebat dan cool tapi masalahnya ini Will Smith tuan-tuan. Wataknya dalam filem Bad Boys memang jauh lebih cool dan hebat mengatasi segala jenis filem berunsur kepolisan di seluruh cakerawala ini.
Selepas memberikan penumpang-penumpang terbabit pengalaman yang tidak dapat mereka lupakan, Smith kemudian menambah kejutan bila menghadiahkan mereka dengan setahun perjalanan percuma menggunakan perkhidmatan Lyft.
Filem Bad Boys terbaru masih mengekalkan gandingan Smith dan Martin Lawrence dan kembali mengetengahkan model Porsche dalam kebanyakan adegan kejar mengejar. Kini model yang digunakan ialah Porsche 911 Carrera S 2020.