
MITSUBISHI “ANGKAT KAKI” DARI CHINA – APA SEBENARNYA YANG TERJADI?
Mitsubishi Motors Corporation telah mengesahkan penamatan kerjasama usaha sama dengan Shenyang Aerospace Mit. Engine Mfg. Ltd., juga dikenali sebagai Shenyang Aerospace Mitsubishi, sekali gus menandakan penarikan diri sepenuhnya jenama Jepun itu daripada aktiviti pengeluaran automotif di China.
Keputusan ini menuruti langkah sebelumnya pada 2023 apabila Mitsubishi menamatkan operasi pengeluaran kenderaan di negara itu, seiring perubahan landskap industri automotif China yang semakin tertumpu kepada kenderaan tenaga baharu (NEV).
Sejak ditubuhkan pada Ogos 1997 dan memulakan operasi setahun selepas itu, Shenyang Aerospace Mitsubishi menjadi antara tonggak utama strategi Mitsubishi di China.
Kilang ini bukan sahaja menghasilkan enjin untuk model Mitsubishi, malah turut membekalkan komponen trenkuasa kepada pelbagai pengeluar tempatan.

Namun, pada 2 Julai 2025, syarikat ini telah ditukar nama kepada Shenyang Guoqing Power Technology Co., Ltd., dengan Mitsubishi Motors dan Mitsubishi Corporation tidak lagi memegang kepentingan saham.
Dalam kenyataan rasmi, Mitsubishi menyatakan bahawa “perubahan pantas dalam industri automotif China” menjadi faktor utama keputusan tersebut.
Langkah ini adalah sebahagian daripada penilaian semula strategi rantauannya. Penglibatan awal Mitsubishi di China bermula seawal tahun 1973 menerusi eksport trak bersaiz sederhana, dan pada awal 2000-an, dua usaha sama pengeluaran enjinnya telah menyumbang kepada sekitar 30 peratus bekalan trenkuasa untuk kenderaan buatan tempatan.
Mitsubishi juga pernah menaruh harapan tinggi terhadap GAC Mitsubishi, usaha sama tiga pihak bersama Guangzhou Automobile Group (GAC) dan Mitsubishi Corporation yang ditubuhkan pada 2012.
Puncak kejayaannya hadir pada 2018, apabila SUV Outlander menjadi pemacu utama jualan dengan lebih 105,000 unit terjual, menyumbang kepada jumlah keseluruhan 144,000 unit. Namun begitu, tekanan daripada jenama EV domestik menyebabkan jualan merosot teruk kepada hanya 33,600 unit pada 2022.
Mengikut maklumat kewangan yang dikongsikan oleh GAC, setakat 31 Mac 2023, GAC Mitsubishi mempunyai aset keseluruhan bernilai 4.198 bilion yuan (RM3.07 bilion) dan liabiliti berjumlah 5.613 bilion yuan (RM4.11 bilion), meninggalkan nilai bersih negatif sebanyak 1.414 bilion yuan (sekitar -RM1 bilion).
Susulan itu, pada Oktober 2023, Mitsubishi mengumumkan penamatan pengeluaran tempatan dan pelan penyusunan semula. GAC kemudiannya mengambil alih sepenuhnya operasi usaha sama tersebut dan merancang untuk mengubah kilang itu menjadi pusat pengeluaran EV di bawah jenama Aion, dengan sasaran pengeluaran besar-besaran bermula Jun 2024.
Langkah Mitsubishi ini menggambarkan cabaran yang semakin ketara dihadapi oleh pengeluar asing dalam pasaran automotif China yang kini didominasi oleh pemain tempatan dan syarikat EV seperti BYD serta Tesla yang beroperasi secara tempatan.
Banyak kerjasama asing lain juga telah menemui jalan buntu, contohnya GAC-FCA yang turut dibubarkan.
Seorang penganalisis industri, Chen Liwei, dipetik oleh portal Jiemian News berkata: “Pasaran automotif China kini adalah medan pertempuran inovasi EV, dan jenama-jenama lama sukar menandingi kelajuan pembangunan pemain tempatan. Pengunduran Mitsubishi mencerminkan perubahan struktur sukar untuk dipatah balik.”
- BACA: SMART #5 EHD DIDEDAHKAN – PHEV, TAWAR JARAK GERAK 1,600KM, JANGKAAN HARGA RM144K
- BACA: CASTROL PERKENAL CRB TURBOMAX BAHARU DENGAN 3X PERLINDUNGAN UNTUK ENJIN KENDERAAN TUGAS BERAT DAN RINGAN
- BACA: HYUNDAI MOTOR UMUM KEPUTUSAN KEWANGAN SUKU KEDUA 2025 – CATAT REKOD PENDAPATAN TERTINGGI
- BACA: REDLINE FITNESS GAMES BY NISSAN MENGGEGAR MALAYSIA UNTUK KALI KETIGA









