Buletin

BAUTO BAKAL AMBIL ALIH JENAMA KIA MULAI APRIL 2021?

Pemilik kenderaan jenama Kia di Malaysia kini boleh menarik nafas lega kerana jenama dari Korea Selatan itu didakwa bakal diteruskan oleh BAuto. 

Seperti yang diketahui, Kumpulan Naza memegang hak mengedar dan memasang jenama Kia dan Peugeot di Malaysia sejak sekian lama. Ketika Peugeot sudah sah diteruskan oleh syarikat Berjaya Auto Alliance (BAASB) yang baru ditubuhkan oleh  Berjaya Corporation dan Bermaz Auto (BAuto) pada tahun lalu, nasib Kia bagaimanapun tidak ketahui. 

Situasi itu jelas meresahkan para pemilik kenderaan Kia di Malaysia. Tetapi, menurut laporan yang disediakan oleh Aminvestment Bank, BAuto dijangka mengambil alih hak pengilangan, pemasanaan dan pengedaran kenderaan Kia tidak lama lagi. 

“BAuto sedang menunggu untuk memperoleh hak pengilangan, pemasanaan dan pengedaran kenderaan Kia pada April 2021,” jelas laporan berkenaan.

Memetik laporan Paultan.org, pengambilalihan jenama Kia oleh BAuto sebenarnya sudah kedengaran sejak tahun lepas. BAuto dikatakan berminat untuk mendapatkan francais dan seluruh operasi Kia di sini, sebelum kumpulan itu mendapat hak jenama Peugeot lagi. 

Biarpun begitu, masih tidak jelas sama ada Kia akan pergi ke BAuto secara langsung atau dikendalikan oleh sebuah syarikat joint-venture (JV) seperti Peugeot dengan BAASB. 

Apa pun, kita tunggu sahaja apakah perkembangannya nanti.  

Google ads
Back to top button