Artikel Pilihan

MODIFIKASI MEWAH – MERCEDES-BENZ E-CLASS ALL TERRAIN 4X4²

Anda seorang jurutera muda di Mercedes dengan idea yang kreatif dan sumber yang tidak terhad. Apa yang ingin anda lakukan? Brader ni ada jawapannya iaitu mengubahsuai model E-Class All Terrain baharu kepada jentera off road mewah yang serba boleh.

Kereta ini bukannya sebuah varian baharu yang dikeluarkan oleh Mercedes-Benz tetapi hasil modifikasi yang dilakukan oleh Jurgen Eberle, seorang jurutera rekabentuk yang bertanggungjawab untuk E-Class baharu ini. Projek ini bermula enam bulan lalu sebagai hobi masa lapang Eberle. Ye lah, orang banyak duit. Kita ni hobi tengok kereta terpakai dalam laman jual beli atas talian je.

BACA: 50 TAHUN AMG – MERCEDES-CARS UK SAMBUT DI GOODWOOD

Ia bermula bila Eberle memiliki sebuah Mercedes E-Class All Terrain baharu. Tak pasti sama ada dia beli sendiri ataupun kenderaan syarikat. Tanpa berlengah Eberle segera menaiktaraf kereta baharu beliau ini untuk menyaingi kemampuan off-road model Mercedes lain seperti G-Class G500 4×4² dan juga AMG G63 6×6.

Perbezaan paling ketara daripada model asal ialah kereta ini kini mempunyai jarak kelegaan bumi 420mm berbanding 160mm sebelumnya. Naik sekali ganda dengan kemampuan mengharungi air kini sedalam 500mm. Kurang 100mm je berbanding dengan G-Class. Kemampuan standardnya ialah cuma 280mm kedalaman air. Perghh.

Menambahkan lagi kegagahan kereta ini ialah dengan penggunaan rim bersaiz 20 inci bercabang lima daripada R-Class yang kemudiannya dibalut dengan tayar off road bersaiz 285/50 R20.

Tidak cukup dengan itu aspek kosmetik off roadnya ditingkatkan lagi dengan pemasangan over fender berwarna gelap. Ini bukannya produk murah yang dihasilkan dengan gentian kaca buatan tangan tetapi dibuat menggunakan mesin cetak 3D.

BACA: MERCEDES X-CLASS RASMI DILANCARKAN (TAHUKAH ANDA IA DIBINA ATAS PLATFORM NISSAN NAVARA)

Bahagian komponen suspensi asal yang menggunakan bushing getah dan plastik dinaik taraf menggunakan kelengkapan bearing motorsport dari Uniball. Eberle juga mendapatkan bantuan AMG untuk mengubahsuai geometri driveshaft untuk memastikan kemampuan off road kereta ini berfungsi seperti sepatutnya.

Inilah kelebihan Eberle sebagai jurutera Mercedes dengan hubungan terus kepada rakan-rakan dalam bidang sama yang mampu memberikan bantuan dalam usaha menaiktaraf kereta beliau ini.

Bahagian enjin bagaimanapun tidak disentuh dan masih menggunakan enjin empat selinder petrol 3.0-liter yang mampu menjana 191 bhp kuasa maksima yang kemudiannya dipadankan dengan kotak gear 9G-Tronic dan sistem pacuan-semua-roda.

Walaupun kereta ini kelihatan cukup ganas dan liar di bahagian luar, di dalam kabin ia masih lagi sebuah Mercedes-Benz yang mewah dengan tempat duduk kulit siap fungsi urutan dan pelbagai kemasan mewah lain. Bezanya kini ia boleh memanjat bongkah-bongkah batu sebesar bola sepak, halangan pokok tumbang dan meredah air sedalam hampir 500mm. Ia juga mempunyai cengkaman yang mencukupi hasil penggunaan tayar off road bersaiz 20 inci tersebut.

Jika wang dan sumber lain bukan penghalang rasanya sesiapa pun mampu menghasilkan modifikasi sebegini. Hasilnya juga kelihatan kemas seperti standard kilang. Tapi itulah, dengan kos sara hidup yang makin tinggi nak ubahsuai Kancil pun kena fikir 48 kali di Malaysia hari ini.

Google ads
Back to top button