Artikel Pilihan

TRACK DAY – SELANGKAH KE DUNIA PERMOTORAN SECARA SERIUS

Apa beza seorang pemandu atau penunggang yang matang dan gila? Matang apabila anda memilih untuk menyalurkan atau menggunakan kemahiran berlumba secara halal di litar, manakala pemandu atau penunggang gila adalah seorang yang acah-acah racer berlumba haram di jalanraya.

Tak kiralah kereta atau motosikal anda sudah dimodifikasi atau standart kilang, Track Day adalah ruang untuk anda melepaskan gian di litar. Masa inilah segala kemahiran anda boleh diasah atau dipraktikkan sebaik mungkin. Kurang ilmu? Jangan risau, ada litar atau pihak swasta yang menawarkan taklimat ataupun tunjuk ajar dengan bayaran minima kepada anda.

Setakat ini litar-litar yang ada dalam negara menawarkan aktiviti ini dengan kadar bayaran tertentu. Tak cukup dengan itu pihak persendirian seperti kelab-kelab permotoran juga gigih menganjurkan acara ini secara berkala. Biasanya aktiviti ini lebih santai dengan syarat-syarat yang minima bergantung sama ada anda memandu kereta atau menunggang motosikal. Tak perlu lesen dari AAM atau racing suit lulusan FIA, anda boleh beraksi dengan tahap keselamatan terkawal. Paling tidak anda berlumba tanpa menyusahkan orang lain.

Di litar anda akan terdedah dengan pengalaman yang hampir kepada suasana perlumbaan sebenar seperti isyarat-isyarat yang digunakan oleh marshal litar atau istilah teknikal perlumbaan seperti garisan perlumbaan, late braking, apex, chicane, hairpin corner dan sebagainya. Di sinilah anda akan menguji tahap kemahiran pemanduan dan tunggangan yang lebih agresif. Masa ini jugalah baru tahu tahap mana berbaloinya ubahsuai yang telah dilakukan pada kenderaan anda.

Persediaan asas sebelum memasuki litar namun syarat-syarat ini bergantung pada penganjur.

1. Pemandu/Penunggang.
– Pastikan anda dalam keadaan mental dan fizikal yang baik. Dalam keadaan cuaca yang panas mahupun mendung, stamina anda menentukan berapa lama anda akan berada dalam litar. Meskipun hanya beberapa jam, percayalah ia cukup meletihkan terutama bagi mereka yang baru mencuba buat kali pertama.

2. Kelengkapan/Riding Gear.
– Helmet yang berkualiti. Bagi mereka yang berkereta, racing suit jarang diwajibkan asalkan berseluar panjang dan berkasut. Bagi yang bermotosikal, racing suit lengkap adalah pilihan yang terbaik.

3. Kenderaan.
– Mestilah berkeadaan baik, tiada sebarang kebocoran minyak atau sebarang bendalir dari enjin, radiator dan brek. Bukan anda sahaja yang berada dalam litar, ia boleh mengganggu peserta lain jika bahagian ini diabaikan.

Bagaimana dengan kos? Ya, istilah ‘hobi kami mahal’ memang ada betulnya, sukan permotoran antara sukan yang memerlukan kos yang agak tinggi. Namun bermain di litar setakat suka-suka kosnya masih boleh diterima akal. Bila dah semakin serius, kemahiran pun dan mantap, mula la terpikir masuk perlumbaan yang lebih kompetitif macam Malaysia Speed Festival(MSF) tu. Silap-silap bakat anda dapat dihidu oleh pasukan-pasukan professional.

Secara ringkasnya aktiviti Track Day ini adalah tapak untuk pelumba-pelumba akar umbi yang mahu memulakan kerjaya dalam sukan permotoran. Dari berlumba tak tentu hala di jalanraya, ini merupakan langkah awal atau kesedaran bagi mereka yang dah mula serius dengan hobi ini. Bagi mereka yang mengatakan mereka masih boleh berlumba di atas jalanraya tanpa wang, fikir dulu saudara, suka ke orang panggil kau gila…

Google ads

admin

mekanika.com.my / permotoran gaya baru untuk generasi baru.
Back to top button