Buletin

MOT LANJUT PENGECUALIAN PERBAHARUI LM DAN LKM

Kementerian Pengangkutan (MOT) melanjutkan pengecualian bagi tujuan memperbaharui lesen memandu (LM) dan lesen kenderaan motor (LKM) persendirian berkuat kuasa 1 April ini sehingga 31 Mei nanti.

Menterinya, Datuk Seri Ir Dr Wee Ka Siong berkata, keputusan itu diambil ekoran Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) masih dilaksanakan.

Bagaimanapun, katanya, para pemandu hendaklah memastikan kenderaan mereka memiliki perlindungan insurans yang sah dan menunjukkan salinan sijil perlindungan (e-cover note insurance) mereka kepada anggota penguat kuasa trafik sekiranya diminta.

“Perincian berhubung pengecualian ini adalah bagi individu yang LM dan LKM mereka tamat tempoh antara 1 Februari sehingga 31 Mac 2021 perlu memperbaharui LM dan LKM masing-masing dalam tempoh 60 hari bermula 1 April sehingga 31 Mei 2021.

“Bagi individu yang LM dan LKM mereka tamat tempoh pada mana-mana tarikh antara 1 April sehingga 31 Mei 2021 pula hendaklah memperbaharui LM dan LKM masing-masing dalam tempoh 60 hari bermula 1 Jun sehingga 31 Julai 2021,” katanya dalam satu kenyataan.

Justeru, beliau menambah tempoh sehingga 60 hari diberikan agar orang ramai mempunyai lebih banyak masa, ruang serta kelonggaran yang diperlukan.

Begitupun, pengecualian ini tidak diberikan kepada pemilik Kenderaan Perdagangan dan pemegang Lesen Vokasional (GDL dan PSV) kerana perkhidmatan pembaharuan yang berkaitan mereka dibenarkan di bawah Jadual Perkhidmatan Perlu (Essential Services) merujuk kepada Jadual Peraturan 3, Peraturan-Peraturan Pencegahan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) (Kawalan Pergerakan) 2021. –SH/AWANI

Google ads
Back to top button