Buletin

HARLEY DAVIDSON MEMPERKENALKAN BARISAN MODEL 2021 DI PASARAN MALAYSIA

Harley Davidson mendedahkan barisan model terbaharu tahun 2021 yang kini boleh didapati di pasaran Malaysia.

Model terbaharu yang memberi tumpuan kepada prestasi, gaya, teknologi dan kebebasan tersebut merangkumi kira-kira 24 jentera ditawarkan pada harga bermula RM68,900 sehingga RM347,900.

Ia sekali gus memberi pelbagai pilihan kepada penggemar motosikal Harley Davidson.

Sportster Iron 883 merupakan model paling murah yang ditawarkan kepada para pelanggan dengan didatangkan enjin Evolution 883 cc.

Selain Iron 883, turut dibawa masuk merupakan Sportster Iron 1200 dan Forty-Eight yang  mendapat khidmat enjin Evolution 1,200 cc.

Bagi model Softail, terdapat lapan model yang diberi pilihan iaitu Softail Standard, Street Bob Special, Low Rider S, Fat Bob 114, Sport Glide, Breakout 114, Fat Boy 114 dan Heritage Classic 114.

Ia masing-masing dijual pada harga antara RM89,900 hingga RM123,900.

Antara yang menarik perhatian sudah pasti model cruiser merupakan Softail Standard dan Street Bob 114.

Model Softail Standard dijana enjin Milwaukee-Eight 107 1,746 cc amat sesuai digunakan pada bandar dengan dipadankan handel bar yang mudah dikendalikan ketika tunggangan.

Jentera tersebut juga merupakan pilihan tepat bagi mereka yang ingin melakukan kustom pada motosikal mereka.

Street Bob 114 pula didatangkan khidmat enjin Milwaukee-Eight 107 1,868 cc dengan tork 155 Nm.

Penggemar jentera touring, terdapat enam model pilihan seperti Electra Glide Standard, Road King, Road King Special, Street Glide Special, Road Glide Special dan Ultra Limited.  

Bagi model-model ini, hanya Electra Glide Standard dan Road King sahaja yang menggunakan enjin Milwaukee-Eight 107 1,746 cc sementara yang lain menggunakan enjin Milwaukee-Eight 114 1,868 cc.

Model dengan tag harga paling tinggi merupakan Trike dan CVO, yang didatangkan pada RM230,900 hingga RM347,900.

Model Trike digerakkan enjin Milwaukee-Eight 114 1,868 cc dengan tork 159 Nm, sementara model CVO pula dikuasakan oleh enjin Milwaukee-Eight 117 169 Nm tork.

Tidak dilupakan, model Adventure Touring Pan America, yang baharu sahaja dilancarkan pada 22 Februari lalu.

Model tersebut didatangkan dengan dua versi Standard dan Special serta dijual pada harga bermula RM99,000.

Google ads
Back to top button