Buletin

POLIS TEMBAK TAYAR LORI BATU CUBA LARIKAN DIRI. PEMANDU TIADA LESEN, BAWA LEBIH MUATAN

Polis terpaksa melepaskan dua das tembakan ke arah tayar sebuah lori yang cuba melarikan diri ketika dikejar di Kilometer 7 Lebuhraya Penyuraian Trafik Timur Johor (EDL), Johor Bahru semalam.

Dalam kejadian berhampiran kawasan Rehat dan Rawat (R&R) Pandan pada jam 7.45 petang itu, pemandu lori muatan batu tersebut dipercayai cuba meloloskan diri untuk mengelak ditahan kerana tidak memiliki lesen memandu dan membawa lebih muatan.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Mohd Padzli Mohd Zain berkata, lori berkenaan sebelum itu dikesan semasa sepasukan anggota dari Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor membuat rondaan.

“Semasa melakukan Operasi Perdagangan (Timbang Berat), polis mengesan lori berkenaan yang membawa lebih had muatan. Anggota polis kemudian menggunakan pembesar suara, menyalakan lampu biru serta membunyikan siren amaran supaya memberhentikan kenderaan.

“Namun, lori berkenaan tidak menghiraukan arahan. Sebaliknya terus memecut laju masuk ke lorong Bangunan Sultan Iskandar,” katanya dalam satu kenyataan.  

Polis kemudian terus mengejar lori berkenaan yang dipandu secara berbahaya termasuk menghimpit kenderaan pasukan polis dalam cubaan meloloskan diri.

Justeru, anggota polis terpaksa melepaskan dua das tembakan ke arah tayar bagi mengelakkan kejadian lebih buruk berlaku kepada pengguna jalan raya lain.

Sebaik memberhentikan lori selepas dua tayarnya pecah, pemandunya melarikan diri tetapi berjaya ditangkap dalam jarak kira-kira 100 meter dari lokasi kejadian.

Semakan rekod jenayah mendapati suspek tiada rekod jenayah lampau, tetapi mempunyai sembilan rekod saman kesalahan trafik. Ujian air kencing mendapati dia positif dadah methamphetamine.

“Punca kejadian mendapati suspek tidak mahu ditangkap polis kerana membawa lebih muatan selain lesen membawa barangan (GDL) sudah tamat tempoh. Pemandu tempatan berusia 31 tahun itu direman selama enam hari bermula hari ini hingga 23 Disember depan,” katanya.

Suspek akan disiasat di bawah Seksyen 42 dan Seksyen 45 Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987, Seksyen 57(3) Akta Pengangkutan Awam Darat 2010, Seksyen 307 dan 186 Seksyen Kanun Keseksaan dan Seksyen 15(1) Akta Dadah Berbahaya 1952.

Mohd Padzli menasihatkan semua pemandu sekiranya pihak polis mengarahkan berhenti supaya mengikut arahan bagi mengelakkan kejadian tidak diingini berlaku terutama membahayakan pengguna jalan raya lain. –Sinar Harian

Google ads
Back to top button