Buletin

OPERASI KAUNTER JPJ 7 HARI SEMINGGU BERMULA JUMAAT/SABTU INI

Kaunter Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) akan beroperasi selama tujuh hari seminggu bermula minggu ini.

Ia bagi membolehkan urus niaga yang tertunggak sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dapat diselesaikan secepat mungkin, selain  mengelakkan kesesakan pelanggan.

Menteri Pengangkutan Datuk Seri Dr Wee Ka Siong memberitahu pelaksanaan operasi tujuh hari seminggu bagi kaunter JPJ di Kedah, Johor, Kelantan dan Terengganu akan bermula Jumaat ini. Manakala bagi negeri-negeri lain pada Sabtu.

“Operasi tujuh hari seminggu ini akan berterusan sehingga arahan pemberhentian dikeluarkan. Bagaimanapun, ia dikecualikan bagi hari cuti am yang diisytiharkan oleh kerajaan,” katanya.  

Masa operasi bagi hari Sabtu dan Ahad/Jumaat ialah dari 8 pagi hingga 1 tengah hari. Kutipan hasil pula hanya dilaksanakan melalui transaksi ‘e-payment’.

Ka Siong juga menyatakan bahawa JPJ akan membuka semula transaksi di kaunter secara berfasa mulai hari ini (13 Mei) selepas ditutup sejak 20 Mac lalu, susulan pelaksanaan PKP.

Mulai 13 Mei, kaunter JPJ di seluruh negara akan kembali memulakan transaksi membabitkan tiga urusan seperti cetakan Vehicle Ownership Certificate (VOC) dan Lesen Kenderaan Motor (LKM) kali pertama bagi tukar hak milik dan pendaftaran baharu.

Urusan lain ialah pengesahan biometrik pemunya baharu (pembeli) bagi urusan tukar hak milik secara sukarela (kenderaan persendirian) dan permohonan permit memandu antarabangsa, katanya.

Pembukaan kaunter JPJ itu dilihat selari dengan keputusan kerajaan untuk membuka semula sektor ekonomi menerusi pelaksanaan Perintah Pergerakan Kawalan Bersyarat (PKPB). – BERNAMA

Google ads
Back to top button