
SEGALANYA TENTANG MUGEN
“Papa tak mahu percintaan kamu dengan Mira Fifi mengganggu urusan bisnes papa” Owh itu dialog biasa dalam cerita melayu. Papanya ada syarikat dengan staff 200,000 orang termasuk makhluk ghaib, ada meeting setiap jam, untung juta-juta, anak hantar belajar oversea dalam bidang ntah kosmetik, balik Malaysia kena ambil alih syarikat papa. Lepas tu kena paksa kahwin dengan rakan kongsi papa sedangkan anak dia bercinta dengan anak tok imam.
Sounds very cliche kan. Tapi tak semua orang akan ikut semua skrip begitu. Sebagai contoh jika anda mempunyai nama keluarga Honda iaitu Hirotoshi Honda yang merupakan anak tunggal kepada Soichiro Honda iaitu pengasas Honda Motor Corporation. Hirotoshi dilahirkan pada tahun 1942 di tengah-tengah kekalutan perang dunia kedua dalam keadaan syarikat Soichiro ranap akibat kesan perang.

Sama seperti Soichiro, Hirotashi berminat dengan segala produk mekanikal seperti motorsikal yang dikeluarkan oleh syarikat Honda dan juga kereta. Nasiblah Hirotoshi ni jenis keras kepala dan dia sudah merancang untuk menjadi nama besar dalam permotoran tapi bukan dalam syarikat Honda. Pada masa yang sama Soichiro sudah merancang bahawa Hirotoshi tidak akan bekerja terus dengan Honda Motor Corps.
Soichiro sudah nampak beberapa contoh dalam syarikat Jepun yang lain, apabila urusan perniagaan dibuat secara tradisi dan turun temurun dari satu generasi ke satu genarasi yang lain, tak semuanya berjalan dengan lancar. Malah anak yang dipertanggungjawabkan untuk mengambil alih syarikat menjadi malas, tidak kompeten dan tidak boleh menjadi pemimpin. Jadi dia memutuskan Hirotoshi tidak akan bekerja dengan Honda. Tambahan pula Hirotoshi merupakan anak tunggalnya.

Pada masa yang sama Hirotoshi juga sama seperti anak muda Jepun yang lain pada waktu itu, tidak gemar mengikut arahan. Sebaliknya dia gemar mengembara ke seluruh dunia untuk berlumba motosikal dan kereta iaitu minat yang sama dengan ayahnya. Ketika menghabiskan zaman kolejnya, Hirotoshi mula bekerja di bengkel milik Honda dan mula bereksperimen dengan Honda S800 bagi menukarnya kepada sebuah kereta lumba.
Dia memiliki satu semangat untuk menjadikan semua kereta keluaran Honda agar menjadi lebih laju, lebih berkuasa dan menang di litar. Dan ia dilakukan tanpa bantuan pelekat tulisan Jepun atau mengangkang tayar. Bagi menjadikan minat ini satu perniagaan, Hirotoshi menubuhkan Mugen Company Limited of Japan. Mugen dalam bahasa jepun bermaksud tidak terbatas.

Hirotoshi kemudian mengambil bekas pekerja R&D Honda, Masao Kimura untuk bekerja dengannya. Kimura ini pun bukan kaleng kaleng orangnya. Kimura telah berjaya membina 15 kereta dan motosikal lumba di bawah seliannya serta memenangi 50 perlumbaan yang disertainya. Kimura diberi jawatan sebagai Ketua Rekabentuk dan Kajian Pembangunan Mugen.
Projek pengubahsuaian enjin pertama yang dibuat oleh Mugen ialah MF318 yang merupakan enjin 4 silinder dengan sesaran 1169cc. Enjin ini merupakan nadi asal pada Honda Civic. Enjin ini memiliki kuasa 68 kuasa kuda padi, dan pasukan Mugen telah menambah baik enjin ini sehingga menghasilkan 133 kuasa kuda liar. Soichiro pun pening macam mana anaknya boleh buat.

Mugen menggunakan sistem pelinciran minyak hitam dry sump, karburetor berkembar, dan saiz silinder dibesarkan sehingga 1300cc iaitu saiz maksimum bagi perlumbaan formula FJ1300. Tapi Mugen sebenarnya mereka semua komponen enjin asal, dan sekiranya komponen tersebut tiada di pasaran mereka akan menghasilkan komponen tersebut sendiri. Zaman tersebut mana ada jual barang online.
Pada tahun 1973 Mugen memasuki arena perlumbaan formula FJ1300 dengan enjin MF318 dan memenangi perlumbaan tersebut. Enjin yang sama digunakan selama 5 tahun berturut turut. Pada masa ini Soichiro mula memberikan perhatian yang lebih kepada Mugen. Pada tahun 1975 Mugen memulakan cabang baru dalam perniagaan iaitu kit badan untuk Honda Civic. Ketika itu rupa asal Civic nampak agak bosan, jadi Mugen menawarkan kit badan yang digunakan oleh mereka di litar kepada pasaran.

Bukan setakat dijual dalam set, mereka menawarkan kit badan yang dibuat secara custom atau tempahan mengikut citarasa pembeli. Apabila perniagaan mereka mula menampakkan hasil dan membawa banyak keuntungan, pada tahun 1979 Mugen membuka sebuah kilang khas untuk menghasilkan produk keluaran Mugen.
Disebabkan harga sebuah Honda Civic ketika itu adalah murah, Honda mula mengelolakan perlumbaan Civic One Make Race. Mugen turut mengambil bahagian dalam perlumbaan ini bagi menunjukkan kemampuan mereka dalam menala sebuah kereta kompak murahan menjadi sebuah kereta lumba. Perlumbaan ini menarik minat semua pemuda jepun untuk menunjukkan skill memandu mereka.

Mamat VTEC, Halim iVTEC, Osman Dolphin, Mat Ripin JDM semua join perlumbaan ini. Masa inilah Mugen mengambil kesempatan menjual semua produk produk talaan mereka untuk pasukan yang berlumba. Bar penstabil, bar anti oleng, penyerap hentak, dan spring perlumbaan dijual pada harga Ariel Sharon.
Bukan itu sahaja, mereka turut menjual rod penyambung piston, piston ring, piston, gasket enjin dan pelbagai komponen jenama Mugen untuk tujuan naik taraf kuasa. Jangan ingat orang Jepun je terliur tengok barang Mugen, Mat Saleh USA pun berminat untuk membeli komponen Mugen. Maka pada tahun 1984 komponen Mugen mula dijual di pengedar Honda di Amerika.

Bila duit dah berkoyan-koyan, Mugen memulakan kembali hobi bos mereka iaitu berlumba dalam SCCA GT4 Class. Tapi takkan nak guna Vios atau Myvi kan. Apa barang. Mereka menggunakan moyang CRZ iaitu Honda CR-X dengan enjin asal 1500cc siri EW. Kuasa asal 76 kuasa kuda digandakan menjadi 165 kuasa kuda. Sorry, tak main la turbo. Ini enjin NA. Honda CR-X mendominasi kelas GT4 perlumbaan SCCA sehingga orang Amerika mula mengenali nama Honda dan Mugen
Hirotoshi mengatakan dia perlukan lebih banyak cabaran. Maka mereka memasuki arena perlumbaan Formula 3000. Mugen mula mengerjakan enjin 3000cc V8 yang diberi nama MF308. Enjin 8 silinder dengan 32 injap ini menghasilkan 500 kuasa kuda apabila diperah sehingga 10,500 RPM. Sikit lagi nak masuk dalam REV enjin rotari. Enjin ini cukup bagus sampaikan ia digunakan sehingga tahun 2005.

Pada pertengahan 1980an, Honda mula terlibat secara aktif dalam perlumbaan Formula 1. Pasukan Honda dan McLaren bergabung tenaga bersama Ayrton Senna namun Honda memberi peluang kepada Mugen untuk menala enjin 3500cc V10 kepada Mugen. Enjin ini ada 40 injap diberi nama MF351-8 menghasilkan 700 kuasa kuda. Namun pada tahun 1992 Honda mula menarik diri dari perlumbaan Formula 1 selepas Senna berpindah ke pasukan Renault.
Namun Mugen tetap membekalkan enjin kepada pasukan Formula 1 yang lain seperti BAR HONDA dan Jordan sehinggalah tahun 2000. Namun pada masa yang sama Mugen masih berlumba dengan serius dalam perlumbaan Japan Touring Car Championship. Mereka memenangi perlumbaan JTCC pada tahun 1996 dan 1997 dengan menggunakan Honda Accord.

Namun disebabkan sudah bosan berlumba, Mugen menceburi aktiviti baru dan ianya bukan MLM yang menjual ibu minyak. Pada tahun 1992 Mugen mula menghasilkan kereta konsep yang berasaskan Honda yang dimulakan dengan model NSX. Ia diberi nama Mugen NSX yang direka dengan semua komponen gentian karbon untuk bahagian cesi. Model ini sebenarnya memberi peluang kepada Mugen untuk menghasilkan kereta konsep dibawah lencana Mugen.
Masalahnya model konsep yang dihasilkan oleh mereka ini memang menarik namun mereka tidak bercadang untuk menjualnya. Sebaliknya mereka menjual semua komponen tambahan termasuk kit badan secara berasingan. Memandangkan terdapat permintaan yang menggalakkkan, Mugen mula menjual kereta konsep Mugen.

Pada tahun 2007 Mugen mula menjual Honda Civic FD yang diberi nama Mugen RR. Ia merupakan Civic Type R yang dipasang dengan pelbagai komponen naik taraf enjin serta kit badan Mugen. Harganya tak murah ya tuan puan. Kalau buat loan 9 tahun pun rasa sesak nafas. Kuasa yang dihasilkan ialah 240 kuasa kuda. Berat asal dikurangkan sebanyak 10kg dengan menggunakan bampar gentian karbon.
Hanya 300 unit terhad dihasilkan oleh Mugen dengan harga mencecah RM 220,000 pada tahun 2007. Kalau anda rasa mahal lupakanlah sebab untuk peminat Mugen, 300 unit ini habis dijual dalam masa 10 minit. Tak sempat pergi ke jamban dah habis jual. Power. Bayangkan kalau Hirotoshi bekerja dengan syarikat Papanya dan menjual 300 kereta dalam masa 10 minit, mungkin tempahan yang masuk membuatkan pekerja Honda mogok besar besaran.
Soichiro mungkin berkata kepada Hirotoshi ” Papa tak mahu perkara ini menggangu bisnes papa okeh”.