Buletin

KISAH EPIK MAZDA GO DAN MAZDA COSMO!

Mazda di antara pengeluar kenderaan dengan sejarah unik. Syarikat bermula dari pengilang gabus dan tidak terus menghasilkan kereta. 

Di antara perniagaan syarikat ialah pembuatan peralatan mesin dan senjata api. Iya Mazda pernah menghasilkan senjata api semasa perang dunia kedua.

Sebelum menghasilkan kereta, Mazda atau nama asalnya Toyo Kogyo mengeluarkan trak tiga roda dengan ruang kargo di belakang. Trak itu dipanggil Mazda Go.

Selepas bertukar dari pengilang produk gabus kepada peralatan mesin pada 1921, presiden baharu syarikat iaitu Jujiro Matsuda menyedari syarikatnya mempunyai kepakaran untuk mengeluarkan produk bagi memenuhi permintaan terhadap trike tiga roda pelbagai guna disebabkan kenaikan ekonomi Jepun.

Kenderaan bermotor pertama yang dihasilkan Toyo Kogyo pada masa itu telah pun membawa pendekatan inovasi automotif syarikat.

Berbeza dengan pesaing lain, Mazda Go mempunyai rear differential canggih dan gear undur.

Diperkenalkan pada Oktober 1931, Mazda-Go Type-DA dilengkapi enjin buatan sendiri 482cc satu silinder sejukan udara berkuasa 9.4ps.

Enjin itu dipadan bersama transmisi tiga kelajuan dan memacu roda belakang.

Trak tiga roda itu mendapat sambutan hangat dan kemudian disusuli varian lebih berkuasa iaitu DB, DC dan KC.

Dalam mempromosikan produk dan menunjukkan keupayaan trak tiga roda itu, Mazda pada tahun 1936 telah membuat satu program jelajah menggunakan lima buah Mazda Go KC dan DC.

Program itu bermula dari Kagoshima dan mempamerkan keupayaan trak tiga roda merentasi jarak 2703 kilometer dalam keadaan berdebu, berlumpur dan mencabar.

Peserta program berjaya menamatkan jelajah di Tokyo 25 hari kemudian. Program tersebut ternyata membuahkan hasil dengan publisiti yang diterima berjaya melonjakkan jualan dan meningkatkan lagi profail syarikat.

Semangat cabaran Mazda tidak terhenti setakat itu. Tiga puluh tahun selepas program pertama, Mazda sekali lagi mahu menujukkan kemampuan produk syarikat.

Kali ini dengan roda empat dan menariknya kereta sport yang baharu diperkenalkan.  Diperkenalkan pada 1967, Mazda Cosmo 110S adalah kereta produksi pertama dengan enjin rotary berkembar.

Bagi menguji ketahanan dan kelasakan enjin rotary, Mazda menghantar dua buah Cosmo ke Marathon de la Route 1968, perlumbaan luar biasa 84 jam di litar 28 kilometer Nurburgring.

Keputusannya? sebuah Cosmo terbabit dalam kemalangan manakala sebuah lagi menduduki tangga keempat!

Mazda Cosmo pada masa itu hanya dikalahkan oleh sepasang Porsche 911s dan Lancia Fulvia yang merupakan di antara kereta sport terbaik di Eropah.

BACA: MAZDA 323 (FAMILIA), MODEL IKONIK RWD!

BACA: MAZDA PERNAH KITAR SEMULA BAMPAR JADI PEN!

BACA: MAZDA RX-7, ENJIN ROTARY KERETA IKONIK!

Google ads
Back to top button