Artikel PilihanMotosikal

NCR M16 – JENTERA MOTOGP CUSTOM SEHEBAT RAIFAL TEMPUR M16

Jika anda seorang kaki superbike sejati dan merasakan Ducati Desmosedici RR yang merupakan versi replika MotoGP yang sah digunakan di jalan raya masih ‘kureng’, kami mungkin ada jawapannya. Kenalkan, NCR M16 (Millona)! Namanya memang sudah sama dengan raifal tempur terkenal, M16 keluaran syarikat Colt dari Amerika Syarikat. Tapi NCR M16 ini merupakan keluaran Itali.

Semasa Ducati memperkenalkan Desmosedici RR pada tahun 2006, keghairahan dunia motosikal kembali membara. Takkanlah korang tak minat dengan sebuah jentera MotoGP yang dibangunkan khusus untuk kegunaan jalan raya.

Sudah tentu ramai yang bercita mahu menjadi sehebat Loris Capirossi dan Sete Gibernau beraksi dalam MotoGP. Kecuali jika anda kaki skuter automatik lengkap dengan sistem audio dan sibuk berchatting dengan wicet.

Tapi ramai yang sedikit kecewa bila Ducati Desmisedici RR yang diperkenalkan ternyata ia tidak segah namanya. Kuasa enjinnya sebagai contoh cuma mampu menghasilkan sekitar 160-170 hp di atas dyno dan bukannya 200 hp seperti diharapkan. Tapi dari sudut teknologi ia sudah  pun menjadi antara superbike tercanggih ketika itu.

Apatah lagi ianya dipasarkan dengan harga melebihi RM200k. Memang mahal berbanding dengan motosikal 1000cc lain bang. Maklumlah, ini replika MotoGP sebenar. Dah boleh beli Panigale sebenarnya dengan harga tu.

Dari situlah munculnya idea untuk menghasilkan NCR M16. Sebuah motosikal super eksklusif dari Itali yang juga diasaskan daripada Ducati Desmosedici RR. Ia merupakan versi lebih ekstrim dan telah menjadi gergasi selepas dinaiktaraf oleh NCR.

Apa yang dilakukan NCR ialah membeli beberapa unit Desmosedici RR secara terus dari Ducati dan kemudian bahagian luarnya ditogelkan sebanyak 80 peratus dan dicampakkan ke tong sampah (okey itu kami tipu, daripada buang baik jual ataupun sedekah pada kawan-kawan).

Dengan kata lain ia menjalani proses make-over secara total. Casis steel trellis yang unik, tangki minyak dan rim magnesium tempa Desmosedici RR yang sangat ringan telah digantikan dengan material yang dihasilkan  dari gentian karbon yang jauh lebih ringan.

Ia bukan satu masalah buat NCR kerana mereka merupakan sebuah syarikat yang menghasilkan komponen untuk jentera perlumbaan F1 dan MotoGP sendiri.

Bahagian casis, lengan ayun, sub-kerangka, panel-panel luaran, tangki minyak dan rim semuanya dihasilkan dengan tangan menggunakan gentian karbon. Kalau itu semua belum cukup, NCR menambah pula brek dengan cakera yang dihasilkan daripada seramik komposit karbon sama seperti dilengkapi pada jentera MotoGP sebenar. Hah, ambik kau.

BACA: DUCATI PANIGALE V4 DIJANGKA TIBA MAC 2018. HARGA ANGGARAN RM130K++

Hasil penggunaan semua kelengkapan tadi membolehkan berat NCR M16 ini dikurangkan sebanyak 15 peratus berbanding sebelumnya. Kini ia mempunyai berat keseluruhan 145 kilogram yang jauh lebih ringan berbanding Honda RC213V-S sekalipun.

Tidak cukup dengan itu, enjin L4, sejukan cecair, DOHC Desmodromic 16-injap ini telah ditala berulang kali untuk kesempurnaan. Begitu juga dengan komponennya juga telah ditukar kepada versi titanium untuk menjimatkan berat.

Ia juga turut dilengkapi dengan kotak gear dan klac baru selain sistem elektronik yang menyerupai jentera MotoGP sebenar. Antaranya termasuklah traction control, sistem telemetri dan Automatic Remapping System (ARS).

Hasilnya ialah kuasa yang melebihi 200 hp bila diuji menggunakan mesin dyno, angka yang gagal dicapai oleh Desmosedici RR asal. Bila kuasa itu bergandingan dengan beratnya yang hanya 145 kilogram. Nah, anda sudahpun mempunyai senjata yang mempunyai nisbah kuasa kepada berat yang mampu mengatasi Bugatti Veyron dari segi pecutan.

Harga macam mana? Nak tau jugak ke? Okeylah walaupun ramai yang memang tak mampu beli macam Pak Amid jugak tapi untuk pengetahuan apa salahnya. Harganya bermula dari sekitar 200,000 pound sterling yang bersamaan dengan RM1.01 juta sehinggalah ke 300,000 pound sterling (RM1.63juta). Err… baik beli rumah kan?

Google ads
Back to top button