Artikel Pilihan

PROTON WIRA TIANG GOL – EDISI TERHAD PALING LEGEND

Proton Wira Tiang Gol atau nama penuhnya Wira 1.8 EXi DOHC Special Edition ini ibarat model Type R bagi model-model Proton. Ini adalah model keluaran istimewa Proton yang sebenar bukan Saga kereta kebal atau Wira GT Wing dulu tu.

Paling best ialah model ini adalah homologasi FIA. Maknanya ia adalah untuk memenuhi syarat FIA yang mahukan Proton mengeluarkan sekurang-kurangnya 2500 unit model jualan yang memenuhi kriteria seperti model rali. Barulah layak bertanding di Kejohanan Rali Dunia. Waktu itu muncullah hero kita iaitu Karamjit Singh yang bertanding dalam kategori N.

Bagi model atas jalanraya nadi penggerak adalah enjin 4G93P 1.8 DOHC. Dalamannya lengkap dengan tempat duduk Recaro, stereng dan tombol gear MOMO. Bahagian luaran pula dilengkapkan dengan lips depan serta spoiler yang kemudiannya menjadi identiti model ini. Tinggi bak tiang gol. Akhir sekali warna pengenalan model ini hitam-hitam nak ke kelabu Majorca Black. Warna putih pun ada tapi susah nak jumpa dah.

Dengan kod C99, casis double stich model ini amatlah istimewa. Untuk rali-lah katakan. Model ini telah keluar sekitar tahun 1995 hingga 1997 sahaja dan pengeluarannya yang terhad menjadikan ia buruan kaki-kaki kereta yang malas nak ubahsuai kereta tapi mahukan kereta yang sedia laju.

Dari 2500 unit itu tadi, 50 unit darinya merupakan model RS (Rally Spec) dengan talaan ECU yang berbeza. Interior pun lain, agak ringkas. Macam model 1.3 pun ada sebab tanpa Recaro dan tingkap kuasa. Alasannya Proton mahu kereta ini ringan. Tapi enjinnya datang tanpa rev cut dan speed cut. RPM pun sampai 9000RPM dengan speedometer 260km/j.

Percayalah masih ramai yang masih membela model ini sebagai kereta kedua yang disimpan di bawah garaj rumah masing-masing untuk dibawa ke track day atau bersantai dengan rakan yang memiliki jentera yang sama sambil mengimbau kenangan mengacah-acah VTEC masa muda-muda dulu.

Jengah-jengah dekat Mudah.com, bawah rm10k pun boleh dapat tapi kebanyakan perkakasannya dah tak 100% original. Faktor usia barangkali…

Google ads

admin

mekanika.com.my / permotoran gaya baru untuk generasi baru.
Back to top button