
NEW ENERGY ASIA PERKENAL PENGECAS EV CANGGIH UNTUK PASARAN ASEAN
New Energy Asia Sdn. Bhd., syarikat usaha sama baharu antara HICOM Engineering Sdn. Bhd. (HESB) dan Hangzhou Flash Charging New Energy Co Ltd. (HFC), kini melancarkan rangkaian lengkap peralatan pengecas kenderaan elektrik (EV) berteknologi tinggi untuk pasaran tempatan dan rantau ASEAN.
HESB merupakan anak syarikat kepada DRB-HICOM Berhad manakala HFC ialah anak syarikat Lotus Technology Inc. Gabungan kepakaran kedua-dua pihak ini menyasarkan penyediaan penyelesaian pengecasan EV yang lebih cekap dan boleh dipercayai, sejajar dengan perkembangan pesat mobiliti elektrik di rantau ini.
Majlis pelancaran rasmi telah disempurnakan oleh Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air, YAB Dato’ Sri Fadillah Yusof.

Turut hadir ialah Pengerusi HESB merangkap Pengarah Urusan Kumpulan DRB-HICOM, Tan Sri Syed Faisal Albar; Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Lotus, Encik Feng Qingfeng; Ketua Pegawai Operasi HICOM Engineering, Encik Hazrin Fazail Haroon; dan Ketua Pegawai Eksekutif New Energy Asia, Encik Gordon Lee.
New Energy Asia akan mengedarkan pelbagai peralatan pengecas EV yang dihasilkan oleh HFC, termasuk pengecas DC berkuasa tinggi 450kW dengan teknologi penyejukan cecair.
Peranti ini mampu mengecas model seperti Lotus Emeya dari tahap 10% ke 80% dalam masa hanya 14 minit.
Selain itu, barisan produk turut merangkumi pengecas AC pintar 7kW, 11kW dan 22kW yang boleh disesuaikan mengikut keperluan pengguna, serta pengecas DC jenis penyejukan udara antara 30kW hingga 240kW dan jenis penyejukan cecair antara 300kW hingga 450kW.

Turut ditawarkan ialah sistem penyimpanan tenaga terkini untuk kegunaan kediaman dan komersial.
Sebagai sebahagian daripada komitmen terhadap kelestarian, New Energy Asia turut menandatangani beberapa Memorandum Kerjasama dengan rakan strategik industri bagi mengukuhkan ekosistem pengecasan EV tempatan dan memperluas penyelidikan serta pembangunan (R&D) dalam teknologi hijau.
Melalui kerjasama erat dengan pelbagai pihak dalam rantaian nilai EV, syarikat ini komited menyokong peralihan kepada pengangkutan rendah karbon dan penyelesaian tenaga pintar di Malaysia dan rantau ASEAN.
- BACA: NORTON BAKAL LANCAR MODEL 450CC, KERJASAMA DENGAN BMW
- BACA: HONDA CIVIC e:HEV 2025 – NAIK TARAF PADU, HARGA KEKAL 167,000.
- BACA: QJMOTOR SRK 900 DEBUT DI CHINA – 95.2HP, 90NM
- BACA: PROJECT:ENDURANCE McLAREN – PELUANG PELANGGAN UNTUK MELIHAT BELAKANG TABIR PROJEK PEMBANGUNAN JENTERA LUMBA HYPERCAR