NILAI KONTRAK MUNGKIN DIKURANGKAN, LEWIS HAMILTON ENGGAN BINCANG KETIKA RAMAI KENA BUANG KERJA
Gaji pelumba pasukan F1 Mercedes, Lewis Hamilton mungkin akan dipotong berikutan kemelesetan ekonomi yang disebabkan oleh penularan wabak COVID-19 di seluruh dunia.
Isu tersebut timbul kerana kontrak bernilai £40 juta (RM219 juta) setahun Hamilton akan tamat pada Disember depan. Juara dunia F1 itu bagaimanapun memberitahu dia masih belum memulakan rundingan kerana berasa tidak selesa kerana ramai orang dibuang kerja.
“Saya rasa sekrang bukanlah masa yang sesuai untuk berbincang tentang kontrak bernilai jutaan pound. Sedangkan begitu ramai orang di seluruh dunia hilang mata pencarian. Saya memang mahu bersama pasukan Mercedes dan bukanlah perkara sukar untuk kami berbincang serta mencapai kata putus.
“Cuma, masanya kurang sesuai dan saya ingin menunggu sedikit masa lagi,” jelas Hamilton.
Pada Grand Prix Britain minggu lalu, dia menjelas tidak berbincang dengan bos Mercedes, Toto Wolff mengenai terma-terma kontrak baharu. Ketika ditanya, Wolff juga enggan memberi sebarang komen sama ada kontrak bintang F1 itu akan dikurangkan.
“Bukan sahaja prestasinya luar biasa, malah dia layak menerima gaji sekarang. Tetapi dunia sudah banyak berubah. Kita kini berada dalam zaman sukar, Lewis faham dan kami akan berbincang serta selesaikan perkara ini,” kata Wolff.
Hamilton kini mendahului carta dengan 30 mata meninggalkan rakan sepasukan, Valtteri Bottas. Dia sememangnya menjadi watak penting menjadikan Mercedes sebagai kuasa dominan dalam F1.
Bottas dilapor telah menandatangani kontrak selama setahun bernilai £12 juta (RM65.5 juta) bersama pasukan Silver Arrows bagi musim 2021.
Hamilton menyatakan usaha mendapatkan gelaran juara pada musim ini adalah yang paling penting dalam hidupnya dalam usaha menamatkan masalah perkauman dan menyokong pergerakan Black Lives Matter.