
HONDA DEDAH CB 1000 F DI OSAKA MOTORCYCLE SHOW 2025
Pada tahun 2020, Honda mencuri tumpuan apabila mempamerkan Honda CB-F Concept.
Lima tahun selepas itu, tiada sebarang perkembangan lanjut mengenai model konsep itu sehinggalah tahun 2025 apabila Honda memperkenalkan CB 1000 Hornet serba baharu.

Kemunculan CB 1000 Hornet menjadi titik penting buat peminat model CB apabila ramai yang menjangkakan Honda akan mengguna pakai platform sama bagi mengembalikan projek CB-F Concept yang telah terkubur.
Itulah yang berlaku di Osaka Motorcycle Show 2025 yang berlangsung di INTEX Osaka apabila Honda mendedahkan CB 1000 F Concept buat julung kalinya.

Berbeza dengan CB-F Concept yang dipamerkan lima tahun lalu, CB 1000 F Concept ini jelas kelihatan seperti model yang bakal memasuki peringkat produksi.
Menurut Honda, CB 1000 F ini dibangunkan dari asas CB 1000 Hornet ini bermakna model akan datang itu hadir dengan swingarm konvensional berbanding single-sided yang digunakan pada CB-F Concept.

Selain kerangka, Honda juga mengekalkan beberapa komponen dari CB 1000 Hornet antaranya pakej suspensi, rim aluminium dan brek. Ini bermakna CB 1000 F ini dilengkapi dengan fork Showa Big Piston dan brek Nissin empat piston.
Meskipun menawarkan rupa bentuk retro namun beberapa ciri masih lagi mirip motosikal moden antaranya penggunaan sistem tanpa kunci (keyless) dan skrin TFT berbanding meter analog.

Dalam pada itu, meskipun dipacu enjin sama dengan CB 1000 Hornet namun Honda dijangka akan menala semula kuasa dari 150hp kepada 120hp bagi memberi ruang kepada aliran tork yang lebih tinggi.
Honda dijangka akan memulakan produksi CB 1000 F lewat tahun ini sebagai model keluaran 2026.
GALERI: HONDA CB 1000 F CONCEPT






