,
Buletin

FIAT 500 PENUH RAMBUT. TELAN BELANJA RM300K UNTUK DISIAPKAN

Maria Lucia Mugno merupakan seorang pendandan rambut dari Salemo, Itali. Bagi memberi penghormatan kepada profesion yang diceburi, wanita itu telah mengubah kereta miliknya, Fiat 500 menjadi kereta paling berambut di dunia.

Kereta berkenaan telah mendapat pengiktirafan Guinness Book of World Records pada tahun 2010. Wanita itu sekali lagi memecah rekod sendiri pada tahun 2014 apabila menambah 20kg rambut lagi pada kereta berkenaan.

Pada hari ini, sekali lagi rekod Fiat tersebut dipadam dengan penambahan 120kg rambut.

Selain bertindak sebagai pendandan rambut, Maria menganggap dirinya pengukir rambut. Ia dibuktikan melalui laman sosial Facebook miliknya apabila membikin barangan seperti topi besar dengan menggunakan rambut manusia.

Maria berkata kepada Barcroft Cars beberapa tahun lalu, idea kereta tersebut diperoleh apabila menerima cabaran seorang rakan.

Dia mengambil masa selama 150 jam untuk menghiasi kereta berkenaan dengan rambut manusia. Projek itu menelan belanja kira-kira AS$90,870 (RM300,00) untuk disiapkan.

Secara keseluruhan, kereta itu dipenuhi dengan rambut manusia. Maria telah memilih pelbagai warna untuk memastikan ia lebih menyerlah.

Maria memberitahu dia mendapatkan rambut tersebut dari India dan bukan rambut wanita Eropah. Ini kerana rambut wanita Eropah lebih mudah rosak.

Bukan sekadar bahagian luar kereta, kabin kereta Fiat 500 itu turut dilengkapi hiasan rambut. Ini termasuklah tempat duduk, papan pemuka dan stereng.

Di bahagian belakang pula, terdapat hiasan bagaikan sepasang kepak burung yang melambangkan keamanan dan kebebasan.

Maria akan memandu kereta berkenaan seminggu sekali, walaupun mengetahui ada khalayak yang merasakan Fiat 500 itu jijik kerana dipenuhi rambut manusia.  Dia hanya ingin orang memahami dan menghargai kesukaran dalam menghiasi kereta itu. – autoevolution


Tags
Google ads
Back to top button