Buletin

NISSAN KICKS KINI DI JEPUN, IMPORT DARI THAI (RM110K-RM114K)

Pada 15 Mei Nissan melancarkan Kicks rupa baru (facelift) di Thailand yang merupakan penampilan global pertama. Satu lagi keistimewaan ialah Kicks pasaran Thailand dikuasakan teknologi e-POWER dan negara kedua selepas Jepun ditawarkan teknologi canggih tersebut.

Hampir sebulan selepas itu (24 Jun), Nissan melancarkan Kicks di pasaran Jepun dan menariknya diimport dari Thailand yang menandakan keyakinan dan kekuatan pengeluaran negara itu.

Sebenarnya ini bukan kali pertama, Nissan sebelum ini turut mengimport dua model yang dikeluarkan di Thailand untuk pasaran Jepun.

Nissan Kicks pasaran Jepun menggunakan rangkaian kuasa e-POWER, sama seperti di Thailand.

Enjin 1.2 liter tiga silinder HR12DE yang dibekalkan bukan untuk menggerakkan roda tetapi sebagai penjana (generator) kepada bateri yang diletakkan di bawah kerusi.

Tugas menggerakkan roda ialah motor elektrik yang menerima bekalan kuasa daripada enjin pembakaran dalaman.

Ini bermakna, pemandu mengisi minyak untuk enjin yang kemudian beroperasi membekalkan tenaga kepada sistem elektrik.

Sistem e-POWER berbeza dengan rangkaian kuasa hibrid atau hibrid plug-in yang saling beroperasi di antara enjin pembakaran dalaman dan motor elektrik.

Berbekalkan enjin sebagai penjana, KICKS tidak memerlukan pemilik untuk mengecas bateri kerana enjin itu sendiri bertindak sebagai ‘loji’ yang membekalkan tenaga kepada motor elektrik.

Dari segi kuasa, enjin 1.2 liter mempunyai output 82 PS pada 6000 rpm dan tork 103 Nm dari 3,600 rpm hingga 5,200 rpm. Sistem bateri elektrik EM57 pula berkuasa 129 PS dan tork 260 Nm. 

Satu lagi keunikan Kicks ialah teknologi One-Pedal. Melalui teknologi ini, pemandu hanya perlu menggunakan satu injak (paddle) untuk memecut dan nyahpecut seperti Nissan LEAF.

Pada bahagian penampilan, Kicks rupa baru tampil dengan tema V-Motion yang diperbaharui dan nampak kemas serta menonjol. Lampu LED direka nipis seperti model terbaru Nissan yang lain.

Cuma bezanya Nissan tidak mengguna gayaan lampu bertingkat seperti Livina dan Juke baharu yang tampil unik. 

Untuk ciri keselamatan, KICKS dilengkapi teknologi bantuan pemanduan ProPILOT. 

Teknologi itu menggunakan gelombang radar bagi mengesan kenderaan lain dan membantu pemandu mengekalkan jarak yang sesuai dengan kereta di hadapan, kekal di tengah laluan yang digunakan dan mengaktifkan brek apabila perlu.

Turut dilengkapi sebagai ciri standard ialah sistem yang menghantar laporan kepada polis secara automatik apabila berlaku kemalangan dan fungsi panggilan SOS manual dalam situasi kecemasan.

Kesemua varian KICKS dilengkapi Brek Kecemasan Pintar yang mengawasi keadaan di depan kereta dan mengelak atau mengurangkan kerosakan akibat pelanggaran dengan kenderaan atau pejalan kaki.

Lagi teknologi yang dipasangkan ialah Emergency Assist for Pedal Misapplication apabila injak disalah tekan.

Nissan KICKS JDM ditawarkan dalam dua varian iaitu X 2WD yang berharga 2,759,900 yen (RM110,460) dan X Two Tone Interior Edition pada 2,869,900 yen (RM114,862).

BACA: PADA 2010, NISSAN ELGRAND E52 DIPERKENAL DI JEPUN

BACA: ADA KATIL DALAM NISSAN SERENA DAN NV200 JDM (BUKAN TIDUR MASA MEMANDU)

BACA: NISSAN GT-R RAKAM GT-R NISMO, HABIS NAK GUNA KERETA APA?

Kredit foto: Nissan

Google ads
Back to top button