Buletin

NISSAN NAVARA OFF-ROADER AT32 – KELUAR KILANG DAH SIAP BIKIN

Di negara kita Edaran Tan Chong Motor (ETCM) adalah pemasang dan pengedar kenderaan Nissan. Walaupun jualan Nissan di belakang Honda dan Toyota tetapi ETCM tetap kreatif dalam memasarkan jenama ini.

Kreatif dalam maksud memposisikan jenama Nissan sebagai racy dan trendy. Cuba namakan pengedar yang berani dan konsisten menawarkan MPV, SUV, pikap, kereta segmen B, C dan D dengan pakej aksesori yang lengkap.

Sekarang ini anda boleh memesan Nissan X-Trail dan Teana siap dengan spring rendah. Serena pula siap dengan kit badan IMPUL.

Bukan setakat itu, pikap Nissan Navara pula turut ditawarkan dengan pakej aksesori off-road Ironman. Aksesori yang ditawarkan oleh pengeluar rasmi adalah penting sebab ada waranti.

Perkara ini jangan dibuat main, silap-silap tukar rim pun boleh jadi sebab gagal dalam tuntutan waranti. 

Ini pula Navara versi UK yang dipasarkan siap dengan pakej aksesori atau nama rasminya ialah Navara OFF-ROADER AT32.

Untuk projek ini Nissan telah berkerjasama dengan Arctic Trucks, satu jenama yang sinonim dengan kenderaan atau ekspedisi di Artik. Di antara projek Arctic Trucks yang popular ialah Toyota Hilux yang digunakan oleh TopGear dalam episod Kutub Utara.

Di sebalik kod nama Navara AT32 adalah deskripsi pikap itu sendiri.

AT merujuk kepada Arctic Trucks manakala 32 ialah diameter tayar off-road dalam ukuran inci. Pikap ini menggunakan roda 17 inci dan gabungan saiz tayar yang besar bukan suka-suka.

Dengan saiz tayar yang besar, pemandu boleh mengurangkan tekanan angin bagi menambah cengkaman tayar di atas permukaan lembut seperti pasir atau salji. 

Selain itu, pikap ini juga telah dinaikkan 20mm lebih tinggi dari ketinggian asal 223 mm. Dengan jarak kelegaan baharu, ketinggian pikap ini telah meningkat sebanyak 40mm. 

Beberapa komponen pada bahagian bawah seperti enjin, transmisi, aci pacu dan tangki petrol dipasangkan plat bagi mengelakkan kerosakan apabila melalui permukaan lasak.

Selain itu, bagi menampakkan lagi efek gempak, arka roda dipasangkan dengan kit lebar yang mana turut berfungsi sebagai pelindung semasa pemanduan lasak.

Pembeli juga boleh memesan pikap istimewa ini dengan snorkel untuk mengharung air sehingga 800mm dan pengunci differential roda depan yang mampu menambah cengkaman pada pelbagai keadaan permukaan.

Walaupun disasarkan untuk kegunaan off-road, Navara dilengkapi pelbagai kelengkapan moden seperti Hill Start Assist, Hill Decent Control, Intelligent Emergency Braking dan Intelligent Around View Monitor.

Bila dah ganas begini, suatu yang menarik apabila Nissan berani memberi jaminan seperti biasa. Keyakinan ini ditunjukkan apabila Nissan Navara OFF-ROADER AT32 didatangkan dengan waranti lima tahun atau 100,000 batu yang turut merangkumi komponen Arctic Trucks selama lima tahun.

BACA: TAHUKAH ANDA NISSAN 370Z NISMO ADA JUAL DI UAE? MODEL NISMO LAIN PUN ADA

BACA: NISSAN GT-R PREMIUM EDITION RASMI DIJUAL DI THAILAND – GODZILLA INI BERHARGA RM1.69 JUTA

 

Google ads
Back to top button