Artikel Pilihan

ENJIN DISEL JADI PAM ANGIN?

Ketika waktu kecil, pernah juga penulis terfikir bagaimana lori yang berat dapat menuruni bukit dengan selamat? Ketika itu penulis baru bereksperimen dengan basikal menuruni bukit dengan tidak menggunakan brek, rasa ngeri jugak apabila laju basikal tidak boleh dikawal. Brek basikal yang menggunakan kabel dan brek pada rim basikal rasa tidak cukup kuat.

Sebelum ini kami telah mengupas secara teknikal berkenaan kaedah memandu ketika menuruni bukit dengan selamat dan menjimatkan bahan api. Persoalan yang sering ditanya ialah adakah memandu menuruni bukit dengan gear neutral menjimatkan bahan api telah kami jawab di SINI

Satu lagi pemerhatian penulis berkenaan dengan tabiat memandu orang Malaysia ialah kerap sangat menggunakan brek. Sikit sikit brek. Selekoh manja manja sikit pun brek. Turun bukit sikit pun brek. Rimas dibuatnya kalau kita memandu di belakang orang ni. Bukan apa kalau mereka terbabas, kita pun ada kemungkinan akan terlibat sekali. Jadi kami telah mengupas hal ini dalam artikel Brek Enjin.

Berbalik pada soalan di atas, eh boleh ke enjin disel berubah menjadi pam angin? Seperti yang kami telah tulis dalam kedua-dua artikel di atas, enjin kereta dan lori bekerja dengan prinsip yang hampir sama iaitu mengepam udara masuk ke dalam kebuk pembakaran, membakar udara dengan cara letupan petrol dan disel bagi menghasilkan tenaga kinetik.

Jika dilihat dari aliran tenaga, ia bermula dari tenaga kimia kepada tenaga haba dan tenaga kinetik (pergerakan). Kalau kita tengok operasi sistem brek pula, ia akan mengubah tenaga kinetik kepada tenaga haba. Sistem brek beroperasi dengan cara geseran antara rotor brek dengan pad brek ataupun kasut brek dengan perumah drum.

Haba yang terhasil dari proses brek ini perlu dilepaskan ke persekitaran dengan segera. Jika suhu terlampau tinggi, haba yang terhasil akan menyebabkan pekali geseran brek akan melebihi nilai yang ditetapkan. Brek menjadi tidak efisyen dan susah untuk berhenti dengan cepat. Dalam sesetengah keadaan brek yang terlampau panas boleh menyebabkan cecair brek mendidih.

Pernah juga penulis terlihat brek yang terlampau panas akan menyebabkan tayar mulai terbakar. Keadaan ini menjelaskan mengapa brek akan memiliki cakera berliang pada tayar depan. Kereta sport memiliki sirip angin khas bagi menyejukkan rotor daripada menjadi terlampau panas. Minyak brek juga perlu ditukar dalam tempoh masa yang ditetapkan oleh pengeluar.

Salah satu perkara yang difahami oleh jurutera ialah apabila lori mulai bergerak ia akan memiliki pontensi inersia yang besar. Dalam fizik inersia boleh ditafsirkan dengan halaju didarab dengan berat. Dalam kes lori, apabila memuatkan barangan ia akan menjadi sangat berat. Kami ulas berkenaan isu ini di SINI.

Perkara ini disedari oleh Clessie Lyle Cummins seorang teknokrat yang membuat pelbagai ciptaan agar enjin disel boleh beroperasi dengan lebih baik melalui syarikat Cummins Engine Corporation. Pada tahun 1955, Cummins telah membuat satu perjalanan merentas benua Amerika bermula dari New York ke Los Angeles bagi mencipta rekod kelajuan baru dengan menggunakan lori

Perjalanan ini bermula dengan baik sehinggalah mereka tiba di California. Ketika menuruni laluan berbukit Cajon Pass di San Bernardino, brek mereka mulai mengalami masalah ketahanan dan mulai terbakar akibat menuruni bukit yang curam dan panjang. Ketika ini Cummins mulai sedar brek lori sepatutnya memiliki satu mekanisme tambahan bagi memperlahankan lori ketika menuruni bukit dengan selamat tanpa menggunakan brek.

Untuk pengetahuan pembaca, enjin disel tidak menggunakan throttle body valve seperti yang digunakan oleh enjin petrol. Dalam enjin petrol, sebaik sahaja pemandu melepaskan pedal minyak, injap throttle body akan tertutup dan seterusnya mewujudkan situasi vakum antara piston dan throttle body. Vakum ini akan mewujudkan geseran dalaman yang seterusnya memperlahankan kereta.

Selepas selamat dari pengalaman yang menakutkan ini Cummins mulai mengkaji pembaharuan yang boleh dilakukan pada enjin disel agar ia boleh menghasilkan brek enjin sama seperti enjin petrol. Cummins menambah satu mekanisme yang digunakan untuk mengaktifkan pam disel bagi mengaktifkan injap ekzos. Hmm macam mana tu?

Dalam enjin disel, kitaran enjin sama seperti enjin petrol. Ia dimulai dengan lejang ambilan udara, lejang mampatan, lejang kuasa dan diakhiri dengan lejang ekzos. Disel akan dipancit masuk dalam kebuk pembakaran ketika akhir lejang mampatan. Cummins mengubah sedikit operasi enjin disel dengan menambah satu mekanisma yang berfungsi dengan memastikan injap ekzos dibuka pada ketika piston berada di kedudukan paling atas ketika lejang mampatan.

Jadi ketika akhir lejang mampatan udara yang telah dimampatkan tadi dipaksa dilepas keluar melalui injap ekzos. Hasilnya enjin tidak dapat menjana tenaga yang diperlukan. Tenaga kinetik yang berasal dari tayar, mengalir melalui aci propeller, kepada unit transmisi dan akhir sekali akan menggerakkan piston untuk menyedut udara masuk. Udara yang masuk dimampatkan oleh piston namun akan dipaksa keluar.

Proses memampatkan udara ini akan menghasilkan geseran dalaman enjin dan mengubah tenaga kinetik yang berasal dari tayar kepada tenaga haba. Apa yang dibuat oleh enjin ketika proses ini ialah menyedut udara masuk dan melepaskannya keluar sama seperti pam angin. Paling bagus, haba yang dihasilkan oleh enjin akan disejukkan oleh sistem penyejukan enjin melalui radiator.

Pada bulan April 1960, Jacobs Manufacturing memulakan satu divisi pengeluaran baru yang diberi nama Clessie L. Cummins Division yang menghasilkan sistem brek yang berasaskan ciptaan Cummins. Divisi ini kemudian menukar nama kepada Jacobs Vehicle System namun brek ini popular di kalangan pengguna dengan nama Jake Brake.

Jake Brake ini juga digelar sebagai retarder kerana ia menggunakan proses merencatkan sistem enjin. Sistem ini akan memasang satu tuil khas retarder di bahagian steering column di belakang roda stering di mana pemandu boleh mengubah kekuatan sistem brek ini. Ia berfungsi dengan menambah bilangan silinder yang akan menggunakan Jake Brek.

Biasanya ia ditetapkan pada 3 tetapan. Semakin tinggi tetapan yang dbuat oleh pemandu, semakin banyak bilangan silinder enjin yang akan mengaktifkan sistem Jake Brek ini. Namun pemandu perlu ingat, Jake Brek ini hanya membantu memperlahankan lori dan pedal brek mesti ditekan untuk menghentikan lori sepenuhnya.

Google ads
Back to top button