Buletin

NISSAN TERRA SPORT THAILAND, 2.3L TURBO – RM201.8 RIBU!

Selain kenderaan pelbagai guna (MPV), pengguna mempunyai pilihan untuk membawa keluarga menggunakan kenderaan utiliti sukan (SUV) tiga baris tempat duduk.

Kedua-duanya mempunyai peminat tersendiri dan pilihan sama ada MPV atau SUV bergantung kepada citarasa masing-masing.

Kelebihan MPV terletak pada ruang dalaman yang optimum manakala SUV tampil dengan rekaan rugged dan jarak kelegaan bumi tinggi.

Satu daripada contoh SUV tiga baris tempat duduk ialah Nissan Terra yang dijual di negara jiran seperti Thailand, Indonesia dan Filipina.

Jika ada yang perasan Terra mempunyai persamaan seperti pikap Navara NP300, jawapannya memang betul dan Terra dibangunkan dari pikap itu dan berkongsi beberapa komponen.

Terbaru di Thailand, Nissan memperkenalkan varian baharu TERRA SPORT dengan gayaan lebih sporti dan pakej aksesori berwarna hitam (itu premium – Fendymojo) seperti berikut:

  • Gril depan, pelindung bawah depan dan belakang
  • Kemasan lampu kabus, cermin sisi, hendal pintu
  • Rel bumbung, antena sirip ikan yu, spoiler
  • Hiasan dapra (fender), pemijak sisi
  • Hiasan pintu but, lambang Sport belakang
  • Dalaman hitam premium
  • Kemasan hitam kilat pada bampar depan dan belakang

TERRA SPORT digerakkan enjin YS23DDTT 2.3 liter diesel turbo berkembar yang menghasilkan 190 kuasa kuda (hp) dan tork 450Nm.

Enjin itu dipadan bersama transmisi automatik tujuh kelajuan. Sebagai sebuah kenderaan yang dijual di Thailand, TERRA SPORT boleh diisi dengan pelbagai jenis diesel seperti B7, B10 dan B20.

Selain enjin berkuasa, SUV premium keluarga itu dilengkapi mod pemanduan 4×4 (4WD) dan satu lagi kelebihan berbanding MPV.

Pemandu boleh menukar pacuan empat roda kepada dua roda (2H) hanya melalui tombol Rotor Switch pada konsol tengah.

Nissan juga telah menambah baik stereng bentuk D balutan kulit supaya pemandu dapat mengawal kenderaan dengan lebih mudah, tepat dan selamat.

Suspensi 5-link pada Terra memberikan pemanduan yang stabil di selekoh dan selesa untuk penumpang.

Walaupun diasaskan dari pikap, Terra menggunakan suspensi multi-link dengan gegelung dan juga ciri unik untuk Navara.

Dari segi keselamatan, TERRA SPORT dilengkapi teknologi canggih Nissan 360° Safety Shield dan pemandu serta penumpang dihiburkan melalui bunyian berkualiti sistem audio premium BOSE.

Ada tiga warna yang ditawarkan iaitu Stealth Gray, White Pearl dan Black Star.

Nissan TERRA SPORT yang tampil garang ini dijual pada harga 1,555,000 baht (RM201,890.16).

Google ads
Back to top button