Buletin

OMODA | JAECOO MALAYSIA BUKA GUDANG ALAT GANTI BAHARU DI SHAH ALAM

Jenama SUV gaya hidup premium, OMODA | JAECOO Malaysia terus mengorak langkah dalam memperkukuh kehadirannya di pasaran tempatan.

Dengan peningkatan permintaan dan pertambahan pusat pengedar di seluruh negara, syarikat kini membuka sebuah kemudahan gudang alat ganti baharu di Shah Alam bagi meningkatkan tahap sokongan selepas jualan.

Dioperasikan oleh Chery Corporate Malaysia, gudang baharu ini dibangunkan bagi menyokong keseluruhan ekosistem jenama OMODA, JAECOO serta iCAUR, jenama baharu yang dijangka membuat kemunculan sulung dalam masa terdekat.

Menurut Naib Presiden OMODA | JAECOO Malaysia, Emily Lek, lokasi strategik kemudahan ini akan memudahkan pengedaran alat ganti ke seluruh negara.

“Kami mahu memastikan para pelanggan menerima pengalaman selepas jualan yang konsisten dan bertaraf tinggi, sejajar dengan nilai jenama kami,” jelasnya.

Gudang seluas 88,000 kaki persegi ini mula beroperasi sejak Mac 2025, menggantikan kemudahan lama dengan kapasiti yang jauh lebih besar.

Ia kini menyimpan kira-kira 10,000 komponen alat ganti untuk semua model OMODA dan JAECOO, serta turut menyediakan stok bagi model iCAUR 03 yang dijangka dilancarkan pada suku ketiga tahun ini.

Selain pasaran tempatan, kemudahan ini juga dirancang untuk menyokong operasi eksport OMODA | JAECOO ke negara-negara ASEAN lain, menjadikannya pusat logistik penting dalam perancangan pertumbuhan serantau syarikat.

Sehingga kini, OMODA | JAECOO mempunyai sebanyak 45 buah pusat pengedar di Malaysia, manakala iCAUR telah bekerjasama dengan 11 pengedar awal dengan pelan peluasan sedang berlangsung.

Langkah membuka gudang baharu ini menegaskan lagi kesungguhan jenama di bawah Chery Corporate Malaysia untuk memastikan ketersediaan alat ganti yang mencukupi dan penyelenggaraan yang lancar demi kepuasan pelanggan.

Google ads
Back to top button