GWM PECAT SEMUA PEKERJA, TAK JADI LABUR RM4.3 BILION DI INDIA
Selepas hampir dua tahun setengah dibiarkan tergantung, pengeluar SUV terbesar di dunia, Great Wall Motor (GWM) akhirnya memecat semua 11 orang pekerjanya dan menutup operasi di India.
Langkah itu diambil selepas GWM gagal mendapat kelulusan pelaburan langsung asing daripada kerajaan India untuk membeli kilang milik General Motors (GM). Ia menjadi antara mangsa terbaharu berikutan pendekatan New Delhi untuk meningkatkan pemantauan ke atas pelaburan dari China.
Biarpun begitu, pusat pembangunan dan penyelidikan GWM di bandar Bengaluru masih beroperasi seperti biasa.
GWM sebelum ini dilaporkan pernah bercadang untuk melabur sebanyak AS$1 bilion (RM4.3 bilion) dan memulakan proses pengilangan pada tahun 2021.
“Semua pekerja diminta hadir ke mesyuarat dan diberikan slip berwarna merah jambu. Mereka juga diberikan tiga bulan gaji untuk bulan Julai hingga September, selain menerima bayaran lain selama enam bulan,” kata satu sumber rapat.
Dalam satu kenyataan rasmi, GWM menyatakan pihaknya berterima kasih kepada semua kakitangan atas sumbangan mereka dan akan terus mengkaji pasaran serta mencari peluang di India. Sehingga kini, tiada seorang pun daripada pekerja tersebut ditawarkan dengan peluang kerja yang lain.