PADAH MERAGUT. SUAMI MANGSA LANGGAR MOTOSIKAL SUSPEK
Cubaan lelaki untuk meragut wanita membawa padah apabila dia dilanggar suami mangsa di Kampung Binjai, Kota Bahru, Kelantan.
Dalam kejadian itu, mangsa, 29, turun dari bas ekspres dan sedang menunggu suaminya datang menjemput.
Ketua Polis Daerah Kota Bharu Asisten Komisioner Abdul Rahim Daud berkata, mangsa yang baru tiba dari Negeri Sembilan turun dari bas ekspres dan menunggu suaminya di tepi jalan persimpangan Kedai Piah.
“Tiba-tiba datang seorang lelaki menunggang motosikal terus meragut beg tangan mangsa.
“Suami mangsa yang kebetulan tiba di tempat kejadian, bertindak melanggar motosikal suspek dengan kereta yang dipandunya namun lelaki itu cuba melarikan diri.
“Berlaku pergelutan antara suspek dan suami mangsa namun lelaki itu berjaya ditahan dengan bantuan dua orang awam lain yang melalui tempat kejadian,” katanya.
Abdul Rahim berkata, wanita itu tidak mengalami sebarang kecederaan dan suaminya hanya luka di telinga kiri akibat pergelutan manakala suspek yang berusia 29 tahun itu luka di tangan serta lutut dan dibawa ke Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II) untuk rawatan.
Menurutnya lagi, pemeriksaanke atas beg pinggang milik suspek yang berasal dari Pulai Chondong, Machang itu turut menjumpai satu paket lutsinar mengandungi serbuk kristal disyaki dadah.
“Ujian saringan mendapati suspek positif dadah jenis Methampethamine dan memiliki 14 rekod lampau bersabit dadah dan jenayah.
“Permohonan reman sedang dibuat dan kes disiasat di bawah Seksyen 392 Kanun Keseksaan (KK),” katanya. –HM