Buletin

PROTON SAGA BAKAL TERIMA ENJIN 1.3L DI PAKISTAN

Proton dengan kerjasama Al-Haj Automotive dari Pakistan bakal memperkenalkan pilihan kenderaan baru di negara itu. Model yang terlibat adalah  SUV X70 dan pelancaran Saga dengan enjin bersesaran 1.3-liter.

Menurut sumber, model Saga bagi pasaran Pakistan akan menerima enjin baru dengan kapasiti yang lebih kecil atas faktor cukai. Berbanding pasaran Malaysia, Proton Saga datang dengan enjin bersesaran 1,332cc DOHC VVT menghasilkan 94 kuasa kuda dan tork 120Nm.

Sedangkan pasaran Pakistan pula bakal menerima enjin bersesaran 1,299cc dengan sistem kotak gear yang sama. Kadar cukai yang dikenakan di negara itu bagi kenderaan 1,300cc ke atas adalah berbeza.

Bagaimanapun, masih belum dapat dipastikan sama ada ia merupakan enjin baharu atau Campro yang dikecilkan sesarannya.

Oleh itu, Proton mengambil jalan selamat dengan menurunkan kadar kapasiti enjin kurang daripada jumlah tersebut. Langkah itu dikatakan mampu menurunkan harga Saga sedan, sekali gus dapat menarik minat pengguna tempatan untuk memilikinya.

Saga buat masa ini akan diimport sebagai unit CBU ke pasaran Pakistan kerana pemasangan tempatan dijangka beroperasi pada tahun 2021. Ia berikutan kilang pemasangan tempatan Proton di Karachi masih dalam pembinaan.

Mereka menetapkan sasaran untuk menghasilkan sebanyak 25,000 unit setahun dengan pelaburan sebanyak AS$30 juta (RM126 juta).

Kilang pemasangan tersebut dijangka menawarkan lebih 2,000 peluang pekerjaan dan 20,000 kerja secara tidak langsung seperti melalui vendor-vendor tempatan.

Google ads

admin

mekanika.com.my / permotoran gaya baru untuk generasi baru.
Back to top button