Artikel PilihanMotosikal

PAKAR AERO F1 AKUI DUCATI GUNA WINGLET YANG MENYALAHI UNDANG-UNDANG

Pusingan pertama MotoGP Qatar yang berakhir minggu lepas sedikit kontroversi bilamana Ducati dikatakan melanggar undang-undang aerodinamik yang ditetapkan.

Pasukan Aprilia Racing Team Gresini, Red Bull KTM Factory Racing, Repsol Honda Team dan Team Suzuki Ecstar telah mengajukan bantahan kepada penganjur tentang jentera Ducati GP19.

Pasukan ini menganggap Ducati telah menggunakan secara salah, peralatan aerodinamik yang dipasangkan pada lengan ayun (Swing arm) belakang jentera mereka, yang didakwa sebahagian daripada “spoiler” yang membantu motosikal Ducati dari sudut aerodinamik.

Secara teknikalnya, ia memang salah – jika mana-mana penambahan peralatan pada komposisi motosikal yang asal, namun sebaik sahaja menerima protes tersebut, ia ditolak mentah-mentah oleh jurutera perlumbaan MotoGP.

Penilai MotoGP, Steward Panel menyatakan penolakan tersebut terhadap keempat-empat pasukan yang membantah. Beliau memberitahu bahawa spoiler yang dipasang Ducati tersebut bertujuan untuk menyejukkan tayar belakang – secara teknikalnya masih tidak menyalahi mana-mana undang-undang yang termaktub dalam penyediaan jentera MotoGP.

Bagaimanapun, keempat-empat pasukan ini tidak bersetuju kerana rekabentuk spoiler tersebut kelihatan sebahagian dari cara untuk mengurangkan impak gelombang udara yang terhasil.

Ia kelihatan seperti skup udara sebagaimana pada sayap hadapan yang berupaya mengalihkan udara yang terhasil menerusi bawah motosikal. Udara yang terbiasa dari roda hadapan ini lazimnya menuju terus ke roda belakang dan spoiler ini bertujuan “membias” ke sisi udara tersebut – ia berguna khususnya ketika pecutan motosikal di laluan lurus.

Setelah ditolak, keempat-empat pasukan telah mengajukan rayuan kepada badan rayuan MotoGP Court of Appeal. Ia akan mengambil masa beberapa minggu untuk mendapatkan keputusannya.

Menurut Pengarah Teknikal MotoGP Danny Aldridge “Buku undang-undang sekarang tidak memperincikan sebarang tambahan pada bahagian lengan ayun,”

“Bagaimanapun ada tercatat garis panduan aerodinamik yang perlu dipatuhi semua. Terdapat kemaskini yang dibuat, namun dinyatakan dengan jelas, penambahan di bahagian lengan ayun mestilah bertujuan untuk menyejuk, membias air dan melindungi dari kekotoran”

Pakar Aerodinamik Formula Satu, Ali Rowland-Rouse bagaimanapun mempunyai pendapat berbeza tentang apa yang dilihat dipasang pada jentera Ducati GP19.

“Ia ada tiga elemen binaan di situ. “sayap” pendek yang memberi downforce apabila motosikal bergerak lurus. Ia mengurangkan wheelspin dengan menghasilkan lebih banyak beban pada tayar belakang, pada julat kelajuan 130km/j hingga 160km/j.

“Dengan fungsi aerodinamik ini, downforce berjaya dihasilkan berdasarkan kelajun. Jadi, bila gandakan kelajuan, anda dapat empat kali daya downforce.

“Apa yang bijak mengenai rekaan ini ialah ia bebas beban. Kesemua aerodinamik MotoGP dipasang pada bahagian hadapan, ia adalah sebahagian daripada “beban” terhadap keseluruhan jentera. Ini memaksa jurutera mengubahsuai sistem suspensi. Namun, bila dipasangkan pada lengan ayun belakang, sebarang tekanan hanya akan pergi ke tayar belakang.

kredit Foto: Simon Patterson

“Ini satu rekaan yang sangat bijak. Anda dapat satu set aerodinamik yang menghasilkan downforce tanpa perlu mengubahsuai suspensi.

“Alat ini tak akan hasilkan downforce sewaktu membrek kerana apabila pelumba menekan brek, beban jentera akan beralih ke depan. Ia “menutup” ruang angin pada spoiler swing arm tadi.

“Ducati memang mencabar peraturan. Mereka buat sebagaimana pasukan F1 yang akan melihat kesemua aspek untuk mendapatkan keputusan terbaik. Jadi pasukan lain pun terpaksa berfikir dengan cara yang sama”

MotoGP harus dikembangkan seperti F1. Mana-mana teknologi yang kontroversi begini akan dikaji dan lazimnya akan diluluskan pada musim berikutnya.

Google ads
Back to top button