Buletin

BATERI HONDA e BOLEH DICAJ 80% DALAM 30 MINIT

Tahun depan Honda bakal melancarkan kereta elektrik (EV) pertama di dalam sejarahnya. Model ini khusus untuk pasaran Eropah yang bermakna pengguna di benua lain tidak akan dapat memilikinya.

Walau bagaimanapun kami optimis Honda e akan tiba jua di pasaran lain termasuk Malaysia. Keyakinan tersebut berasaskan Nissan LEAF yang sudah ditawarkan di Thailand dan bakal memasuki negara kita beberapa bulan lagi.

Satu lagi asas keyakinan tersebut ialah pasaran tempatan yang istimewa buat Honda seperti penawaran Honda Civic Type R (FD2R) dan tiga model hibrid semasa iaitu City, Jazz dan HR-V.

e belum dilancarkan namun sambutannya terbukti positif apabila Honda telah menerima 31,000 pendaftaran minat dari seluruh Eropah melalui laman web khas. Lebih 9,000 pendaftaran daripada United Kingdom sahaja.

Honda sebelum ini telah pun mendedahkan reka bentuk asas e namun belum memperincikan tentang casis, bateri dan pengecasan.

Memandangkan Honda gemar bermain dengan inovasi, teknologi yang dimajukan begitu menarik untuk diteroka.

Berikut ialah butiran teknologi utama Honda e:

  • Platform EV pertama Honda dan direka daripada asas dan dibina dengan fokus khusus untuk persekitaran bandar
  • Menggunakan bateri kapasiti tinggi Lithium-ion 35.5 kWh sejukan air
  • Boleh dicas menggunakan sambungan Type 2 AC atau pengecasan pantas CCS2 DC
  • Jarak perjalanan dengan cas penuh sekitar 201 kilometer
  • Keupayaan pengecasan pantas sehingga 80 peratus dalam masa 30 minit
  • Lokasi bateri diletak pada bahagian tengah dan aras rendah di bawah lantai kereta
  • Posisi tersebut memberikan pembahagian berat 50:50 dan titik tengah graviti rendah memberikan prestasi pengendalian dan kestabilan yang cemerlang
  • Pek bateri menggunakan penyejukan air untuk memastikan kecekapan bateri
  • Kuasa daripada motor elektrik dengan daya kilas tinggi memacu roda belakang sekaligus memberikan pemanduan menyeronokkan
  • Suspensi bebas pada keempat-empat sudut turut menyumbang kepada dinamika pemanduan
  • Material komponen suspensi diperbuat daripada aluminium tempa untuk mengurangkan berat

Honda sebenarnya mempunyai misi besar di Eropah iaitu menjelang 2025 mahu kesemua model yang dijual disana menggunakan teknologi elektrifikasi.

e adalah pembuka jalan dan berdasarkan reputasi yang Honda miliki serta reka bentuk dan pakej yang dipersembahkan di dalam model ini kami percaya Honda berada di landasan betul.

Tinggal lagi apakah pula perancangan Honda untuk rantau ASEAN?

Tags
Google ads
Back to top button