Pandu Uji

PANDU UJI: MYVI 2018. SILA CURI KERETA INI…

Tahun 2006 merupakan tahun pertama Myvi generasi pertama dilancarkan oleh Perodua. Secara jujurnya apa yang penulis Nampak ketika itu ialah pembuat kereta model Kancil ini mula mengorak langkah dengan lebih besar dengan menawarkan satu rekabentuk yang lebih besar dan selesa. Nama model ini pun mula diubah dari nama binatang ke nama yang lebih moden. Jika tidak mungkin D73A akan dikenali dengan nama Perodua Anak Gajah berbanding dengan nama MyVi. Pelbagai ciri yang diperkenalkan seperti brek ABS, 2 beg keselamatan udara dan juga enjin DVVT membuatkan penulis berasa kagum dengan usaha Perodua ketika itu.

11 tahun kemudian Myvi generasi ketiga diperkenalkan pada tahun 2017. Kami berpeluang sekali lagi untuk memandu uji model ini selama 4 hari bagi menilai adakah model ini layak digelar “King of Highway” oleh pemandu Malaysia selepas hampir 2 tahun bertakhta di hati pengguna.

Cesi dan rekaan luar

Chassis untuk model ini terbahagi kepada 2 iaitu platform lantai dan “upper body” yang serba baru. Platform lantai diambil dari model lama D54T dan diubahsuai sehingga 70% dari platform asal. Hasilnya jarak antara roda bertambah dari 2440mm ke 2500mm. Jarak antara roda atau wheelbase menentukan ruang untuk penumpang dan barang.

Panjang keseluruhan kereta bertambah 205mm dan lebar bertambah 70mm. Tapi tinggi kereta diturunkan 30mm bagi menurunkan pusat graviti. Menerusi rekabentuk yang bijak, saiz bonet bertambah kepada 277 liter dan masih mampu memuatkan tayar simpanan saiz penuh. Maaf tayar sotong hanya untuk sotong sahaja.

Upper body telah direka dengan citarasa tempatan yang lebih suka makan nasi lemak berbanding sushi. Boleh ucapkan selamat tinggal kepada bentuk lama Myvi mirip pau kacang yang baru dikukus. Reka bentuk baru lebih anggun dan aeordinamik dengan “shoulder line” yang lebih sasa seperti penulis baru keluar dari gym.

Ia lebih maskulin dan perubahan ini seperti dari rupa paras pelakon Jonah Hill kepada Chriss Evans. Hasinya pekali geseran Coefficient of drag menurun dari 0.306 ke 0.296. “Quarter glass” pada bahagian belakang turut ditambah memberikan gambaran kereta ini telah bertambah luas. Dari sisi nampak macam Jazz.

Selain menjalani perubahan kosmetik, Myvi juga tidak lupa membuat “leg day” di gym dan menaik taraf rim sport kepada saiz 15inci dan dipasang dengan tayar 185/55 dari Goodyear Assurance. Tiada lagi imej badan gempal dan kaki kecil seperti Myvi lama. Ia lebih sekata dari segi panjang, luas dan juga saiz roda

Perodua sedar akan kehendak rakyat malaysia yang gemar memberi  lampu tinggi, maka lampu hadapan lengkap dengan LED termasuk “high beam” diberikan lampu LED yang berwarna putih. Lampu ini dibuat dan direka bentuk oleh syarikat tempatan di Malaysia, bukan Jepun ya. Untuk pemilik BMW yang mempunyai hobi menyuluh kereta depan, “beware of new Myvi. The revenge is mine”. Untuk pemandu yang soleh dan solehah, ada ciri “headlamp levelling adjuster” yang boleh mengubah ketinggian lampu agar tidak menggangu pemandu lain dan menyuluh pontianak di malam hari.

Bagi pemandu yang pertama kali menggunakan Myvi anda tidak perlu rasa malu bila parkir di sebelah Jazz, Rio, Iriz dan Mazda 2.

Enjin

Enjin lama dengan teknologi DVVT telah diketepikan bagi memberi laluan kepada 1NR-VE (1300cc) dan 2NR-VE (1500cc) dan kedua dua enjin mempunyai kebolehan “start-stop di traffic light” . Kedua dua enjin mempunyai ciri dual VVTi pada “intake dan exhaust valve”. Kotak gear 4 kelajuan auto masih dikekalkan walaupun ada yang berpendapat kotak gear baru harus diberikan. Gabungan enjin baru dan rekabentuk baru yang mempunyai pekali geseran rendah memberikan penggunaan petrol sehingga 21.1km/liter bagi variant 1.3X.

Anda boleh baca artikel penuh berkenaan enji Myvi di SINI

Ciri Keselamatan

Pada bahagian keselamatan aktif, banyak ciri baru yang diperkenalkan sehingga membuatkan jenama Premium terkesima. Ciri seperti Vehicle Stability Control yang membantu mengekalkan kestabilan ketika selekoh dijadikan ciri standard untuk semua varian termasuk Traction Control Sistem. Paling menarik adalah ciri Advanced Safety Assist yang merangkumi ciri Autonomous Emergency Braking telah dipasang pada varian 1.5 Advance. Ciri ini biasa dipasang pada jenama premium dan yang paling murah ada pada Hyundai Ionic yang berharga 125K.

Tetapi saya nasihatkan jangan sesekali cuba buat ujian brek kecemasan automatik pada pejalan kaki terutama pada wakil rakyat yang sering mungkir janji. Anda boleh baca artikel penuh berkenaan ASA di SINI

Model perodua yang lama sering dijadikan bahan lawak oleh industri automotif, lantas Perodua meningkatkan bilangan beg udara minima kepada 4 dan varian 1.5 menerima 6 airbag. Pemandu juga tak perlu pulas telinga penumpang kerana ada ciri peringatan kepada semua penumpang agar menggunakan tali kaledar. Ciri ISOFIX atau cagak untuk pemasangan kerusi bayi turut disediakan sebagai ciri standard. Kesemua ciri ini melayakkan Myvi menerima 5 bintang dari Asean NCAP dengan pematuhan 43.14 dari 49 markah. Terima kasih kepada Asean NCAP dan Perodua atas usaha menghasilkan kereta yang lebih selamat pada harga mampu milik.

1. Enjin dan kotak gear

Pada mulanya, saya inginmengkritik berkenaan kotak gear empat kelajuan yang dibekalkan bersama dengan kereta ini. Bagi saya, kotak gear 4 kelajuan ini dah ketinggalan zaman. Tapi saya silap, kotak gear ini beroperasi dengan sangat lancar, meniru dan membaca cara saya mengawal pedal minyak. Pertukaran gear dilakukan sekitar 2000rpm. Dalam halaju 80-90 km/h, RPM enjin berada antara 1900-2200 RPM. Untuk kegunaan biasa, operasi enjin antara 1500-2500 RPM pun dah cukup. Tak perlu nak tekan pedal kuat untuk dapatkan tork enjin.

Semasa mendaki permulaan kawasan berbukit dari Simpang Pulai ke Cameron, penggunaan gear D3 membantu enjin beroperasi pada “peak tork” memecut Myvi sehingga 5000RPM dengan mudah. Malah pecutan dia terasa lancar meninggalkan Kia Forte 2010 di belakang saya yang terhegeh-hegeh cuba memecut mengikut saya. Bunyi enjin yang sebelum ini seperti “shy-shy cat” mula mengaum lembut, tapi tidak bising. Cukup untuk memberitahu pemandu ” dont worry, i got this”. Kalau setakat nak mendaki bukit secara santai 70-80km/h tidak perlu pun guna D3, kekal saja guna gear D.

Ketika saya memandu di lebuhraya PLUS, enjin ini dengan senang memecut tanpa sedar melebihi halaju kebangsaan sekitar 3000RPM. Berdasarkan pemerhatian saya, kalau untuk pandu secara santai, halaju antara 80-90km/h cukup bagus untuk penjimatan maksima. Pecutan di permulaan lampu trafik pun cukup menyerlah sekiranya diperah. Unit enjin 1500cc dual VVTi ni walaupun atas kertas macam biasa-biasa sahaja, prestasi atas jalan “speak louder”

Tiada masalah sebenarnya dengan kotak gear 4 kelajuan ini. Apabila menggunakan D3, penukaran gear berlaku dengan lancar. Tapi sekiranya dibandingkan dengan model lain yang menggunakan kotak gear CVT, akan nampak perbezaan terutama semasa kita sedang pandu secara santai. Macam Honda City saya akan kekal pada 1800RPM pada halaju 80km/h (Myvi 2000RPM) dan 2600RPM pada 120km/h (Myvi 3000RPM). 4 ratio tidak ada “kaki yang panjang” yang membantu enjin bekerja secara santai. Tapi perbezaannya sikit saja.

2. Sistem Suspensi

Sistem suspensi yang digunakan oleh model baru terasa lebih tegap, tapi tidak terlalu lembut dan boleh beraksi dengan cemerlang di selekoh. Masih mengekalkan sistem McPherson di depan dan Torsion Beam di belakang, namun ada resepi rahsia terutama di bahagian belakang, Tambahan “rear anti roll bar” dan dan satu lagi bar di depan torsion beam membuatkan bahagian belakang terasa lebih kemas dan padu.

Tiada lagi rasa nak terbalik, tergolek dan membuang sekiranya selekoh diambil melebihi kelajuan yang ditetapkan. Rasa bahagian belakang ikut saja steering input dari driver. Namun jika dibandingkan dengan Yaris, suspensi Myvi akan terasa sedikit kasar dan tegap

“Understeer” masih lagi ada kalau kita terus menekan pedal minyak berlebihan pada selekoh, tapi dengan “simple tap” pada brake pedal dan pusing steering lebih lagi, masalah understeer tu hilang. Kalau nak senang, guna “straight brake line braking”, turunkan D3 sebelum selekoh, dan buat “throttle modulation” semasa selekoh. Halakan bahagian depan ke sudut selekoh, dan bahagian belakang Myvi ni akan ikut tanpa bantahan.

Kalau dalam taman perumahan, apabila melalui “speed bump”, suspensi Myvi memang terasa lembut. Namun apabila memandu di atas permukan jalan tidak rata, barulah suspensi Myvi ini terasa “unrefined”.

Kalau model lama macam D73 atau D54T yang saya pakai, pengguna terpaksa memasang stabilizer bar pada bahagian depan dan rear anti roll baru boleh “perform” masa selekoh. Itu pun kadang-kala boleh dengar tayar menjerit masa selekoh.

3. Ergonomik

Kusyen Myvi ini memang sedap, terasa dalam dan memberi sokongan badan semasa selekoh. Tapi kalau pengguna berbadan besar, mungkin akan kurang selesa. Sokongan di bahagian “lower back” pun ok. Cuma pada bahagian upper back support tu, rasa nak korek ke dalam sikit terutama pada bahagian bahu, baru selesa. Kedudukan steering, seat memang senang diubah untuk keselesaan. Cuma sayang tiada fitur teleskopik.

Untuk lagi selesa, kusyen pemandu patut ada perehat tangan baru selesa untuk jarak jauh. Kedudukan tombol gear dekat dengan stering, memang senang nak tukar gear. Rekan bentuk dan kualiti stering pun sedap dipegang. Cuma kalau waktu malam, lagi cantik kalau butang di steering ada lampu. Senang sikit nak guna unit kawalan audio. Butang kawalan penyaman udara, radio dan segala suis yang berada di kanan senang nak capai

Bacaan meter pada waktu malam terang, jelas dan pencahayaan dia nampak “cool”. Warna biru yang digunakan sebagai tema utama tidak menyakitkan mata. Suis tingkap ada fitur auto up dan auto down serta suis signal hanya perlu usik sikit saja untuk lampu signal berkelip 3 kali secara otomatik. Malah apabila mengundur dan pengelap cermin dihidupkan, pengelap cermin belakang akan hidup secara automatik.

4. Auto Start Stop

Myvi advance ini lengkap dengan fungsi auto start stop, sama macam Bezza. Setiap kali berhenti, kalau keadaan mengizinkan enjin akan padam sendiri namun kipas penyaman udara akan tetap berfungsi. Cuma pemampat penyaman udara akan berhenti. Lepas pedal brek atau tekan pedal minyak enjin akan hidup secara automatik

Walaupun proses hidup semula terasa lancar, tapi akan ada juga gegaran halus pada kaki dan kerusi. Jika dibandingkan dengan Honda CRZ yang saya pandu dulu, memang langsung tiada gegaran. Salah satu sebabnya ialah operasi menghidupkan enjin masih menggunakan “starter” kalau dibandingkan dengan CRZ yang menggunakan motor elektrik

5. Advance Safety System (ASA)

Hanya model Advance saja yang ada ASA, dan komponen yang saya selalu test (provoke) ialah pre-collision warning system dan pre-collision brake. 4 kali sistem ini berfungsi. Sekali di traffic light masa low speed follow, warning dan brek dalam jalan kampung masa mengekori motor secara rapat . Kali terakhir semasa turun dari Cameron Highlang wujud situasi brek kecemasan. Saya menekan pedal brek sehingga 30km/h sebelum ASA “merampas” brek. Ya, ASA saya rasa amat berguna dan jika mampu terus pilih Myvi Advance Version

6. Lampu LED

Lampu LED Myvi ini cukup terang, macam pasang lampu kalimantang depan kereta. Ada suis untuk kawal sudut lampu bagi mengelakkan pemandu lain silau. Sampaikan saya rasa, kalau lampu kabus tiada pun tak apa. Lampu ini datang dengan fungsi “auto off”

7. Steering Input

Boleh puji “steering input” dan feedback untuk model baru dan wujud komunikasi dua hala dengan steering. Pemandu boleh rasa apa yang tayar depan sedang buat berbanding dengan stering elektrik model lama yang terasa kaku dan palsu. Ibarat kita baru mengenali gadis di FB dan anda mengajak dia minum di Starbuck.Namun gadis tersebut malu-malu cipan sampai tak bercakap. Steering baru ni ibarat kalau minum kopi dengan dia, dia akan bersembang, tapi tak melalut. Anda tanya pendapat atau cuba tanya soalan seperti, “adakah penulis artikel ni hensem?” Sudah tentu dia kan menjawab memang kacak.

8. NVH

Ujian bunyi untuk Myvi adalah seperti berikut

Halaju km/jBunyi dB
Melahu40
6052
80-9068
11071
Jalan Baru diturap50
Jalan Lama64

Dari prestasi kedap bunyi, Yaris dan juga jenama Korea akan memberi keputusan yang lebih baik.

9. Penggunaan Petrol

Satu tangki isian penuh membolehkan Mybi membuat perjalanan sejauh 475km. Dengan laluan bercampur termasuk lebuhraya, jalan bandar, jalan sesak, dan mendaki naik ke Cameron ia memberikan bacaan purata 15.83km per liter. Bagi saya satu angka yang sangat baik memandangkan saya tiada niat untuk memandu secara jimat. Manakala untuk ujian dengan pemanduan berhemah, ia memberikan bacaan sekitar 19km/liter petrol bagi laluan lebuh raya pada halaju 110km/jam.

Fitur yang membuatkan Myvi tambah menarik

10. Kusyen telah diubah bagi memberikan postur ergonomik yang lebih baik, selesa dan dalam dan bukan duduk atas bangku seperti model lama. Kusyen belakang boleh dilipat untuk membawa lebih banyak barang.

11. Bacaan meter warna biru lembut mudah dibaca dengan sekali imbas. Perubahan papan pemuka dibuat lebih kepada fokus untuk pemandu.

12. Reka bentuk papan pemuka mirip jenama mahal lengkap dengan pengawal suhu penyaman udara digital lengkap dengan ciri memori untuk penyaman udara, sesuai untuk Malaysia dengan cuaca panas

13. Bagi perunding jualan Perodua, antara ciri yang patut disyukuri oleh mereka ialah “built-in smart tag” yang ada pada variant 1.5. Dengan adanya ciri ini, maka hadiah smart tag kepada bakal pemilik tidak lagi relevan dan boleh digantikan dengan hadiah lain seperti tupperware atau pinggan Arcopal. Lebih selesa memandu sewaktu membayar tol, tak perlu gunakan penghalau lalat kiranya tangan tak cukup panjang.

14. Keselesaan penumpang belakang turut ditambah dengan kehadiran 2 headrest dan USB port yang dipasang pada bahagian kerusi pemandu bagi kemudahan penumpang. Inivasi ini hadir bersama poket tepi tempat duduk bagi membolehkan telefon pintar diletakkan ketika proses pengecasan

15. Fitur yang perlu ditambah

a. Sistem pemanduan “autocruise”, sebab saya malas nak tekan minyak di lebuh raya terutama selepas kerajaan memenuhi janji mereka dengan menambah kamera AES.
b. Perehat tangan sebab bicep dan tricep saya besar. Lenguh beb bila pandu jarak jauh
c. Kualiti pembesar suara perlu diperbaiki kualiti bass
d. Kualiti paparan kamera undur belakang perlu ditambah baik

16. Jika anda mementingkan keselamatan dan “alah membeli dan menang memakai” maka Myvi ini sangat sesuai untuk anda. Ia mudah dibela, tidak banyak ragam, menjimatkan petrol dan boleh dipandu laju di lebuh raya. Ia lengkap dengan pelbagai ciri yang jarang sekali dipasang pada segmen C

Namun jika anda seorang yang mementingkan status dan jenama import terasa lebih serasi dengan anda maka Myvi ini bukan untuk anda. Membeli Myvi boleh membuatkan status anda jatuh merudum. Anda perlukan jenama import untuk nampak hebat untuk menutup kelemahan diri anda.

Tags
Google ads
Back to top button