Motosikal

MODENAS, PETRON ANJUR CABARAN 1,600KM MODENAS DOMINAR D400

Motosikal dan Enjin Nasional Sdn Bhd (MODENAS) dengan kerjasama Petron Malaysia (PETRON) telah menganjurkan Cabaran 1,600KM Modenas Dominar D400 pada 18 November lalu.

Cabaran bertujuan menguji ketahanan mental dan fizikal para penunggang serta keupayaan motosikal Modenas Dominar D400 yang telah dinaiktaraf itu disertai 10 peserta termasuk pengamal media automotif tempatan.

Ketua Pegawai Eksekutif MODENAS, Roslan Roskan melepaskan konvoi mengharungi perjalanan sejauh 399km dari PETRON Subang Jaya menuju ke kilang MODENAS di Gurun, Kedah.

Para peserta konvoi telah meneruskan perjalanan menuju ke Kelantan melalui Banjaran Titiwangsa dan kawasan hutan simpan di Hutan Hujan Royal Belum, Perak.

Kemunculan seekor gajah pada perjalanan sejauh 315 km tersebut menjadikan cabaran lebih istimewa apatah lagi terpaksa meredah cuaca hujan lebat serta laluan sempit menuju ke Jerteh, Kelantan.

Selepas melalui laluan mencabar, para peserta konvoi menempuh perjalanan sejauh 234 km ke Kijal, Terengganu dan Gambang, Pahang.

Perjalanan dari Gambang menghala ke Mersing ditemani langit malam yang gelap dengan sumber cahaya dipancarkan jentera Modenas Dominar D400.

Para peserta konvoi yang sudah melalui perjalanan sejauh 553 km dapat merehatkan diri seketika di Simpang Renggam, Johor sebelum meneruskan perjalanan ke Ayer Keroh Melaka.

Dengan berbaki perjalanan sejauh 118 km, para peserta selamat sampai di destinasi terakhir di Hotel Concorde Kuala Lumpur, pada 19 November 2021 tepat pukul 6.44 pagi.

Para peserta cabaran berjaya menempuhi jarak sejauh 1,619KM dalam masa 23 jam 8 minit yang meliputi beberapa laluan dan permukaan paling sukar serta suasana persekitaran mencabar.

Bagaimanapun, pengembaraan mereka disajikan dengan pemandangan serta khazanah negara yang tersimpan rapi di Semenanjung Malaysia .

Dalam pada itu, Roslan Roskan memberitahu ia merupakan julung kali MODENAS menganjurkan konvoi sejauh 1,600KM dalam tempoh 24 jam.

Beliau berkata perjalanan yang panjang dan epik merentasi negara ini sememangnya mencabar bagi penunggang dan motosikal.

“Begitupun,  Modenas Dominar D400 edisi 2021 D400, sudah pasti memberikan keselesaan kepada penunggang dan segala yang diperlukan untuk mencapai objektif dalam keadaan terbaik.

“Saya benar-benar berharap agar kesemua 10 peserta itu mempunyai pencapaian yang menakjubkan dalam melengkapkan cabaran ini dan banyak belajar tentang diri mereka semasa melakukannya,” ujarnya.

Google ads
Back to top button