BuletinMotosikal

PELUMBA CUB PRIX MALAYSIA DIBERI PELUANG UJI YAMAHA YZF-R6

Empat pelumba teratas CP150 Kejuaraan Cub Prix AAM Malaysia PETRONAS diberikan peluang untuk menguji jentera Yamaha R6 ketika sesi ujian tayar rasmi Kejuaraan Motosikal Asia FIM (ARRC) di Litar Antarabangsa Chang, Buriram, Thailand yang berakhir semalam.

Kasma Danial Kasmayuddin bersama-sama juara CP150 2018, Ahmad Afif Amran, Mohd Hafiz Nor Azman dan Mohd Akid Aziz masing-masing turun ke litar dan bersaing untuk tampil dengan aksi terbaik bagi mengisi dua slot pasukan Hong Leong Yamaha Malaysia ke kategori SuperSports 600cc ARRC untuk musim 2019.

Kelebihan beraksi musim penuh kelas 600cc musim ini memberi kelebihan kepada Kasma apabila muncul pelumba terpantas diantara keempat-empat pelumba dengan catatan 1’40.011s namun ketinggalan kepada pelumba terpantas sepanjang dua hari sesi ujian, Peerapong Boonlert yang mencatat masa terpantas 1’38.834s.

Mohd Hafiz yang sebelum ini berpengalaman menunggang jentera Honda pula mempamerkan prestasi memberangsangkan meskipun pertama kali menguji jentera R6 apabila mencatat masa kedua terpantas di belakang Kasma dengan masa terbaik 1’40.614s.

“Ini merupakan aksi pertama saya menggunakan jentera R6, jadi tumpuan utama saya bukanlah untuk mendapatkan masa terbaik sebaliknya menggunakan peluang ini untuk mendapatkan lebih masa dan keserasian dengan jentera,” jelas Hafiz yang melakukan 92 pusingan sepanjang dua hari sesi ujian.

Ahmad Afif yang pernah beraksi dalam kelas 600cc pada tahun 2015 sebelum beraksi dalam kelas Asia Production 250cc ketiga terpantas dengan masa 1’41.453s manakala juara Underbone 150cc dan CP115 2017, Md Akid Aziz dilihat masih belum mendapatkan keserasian bersama jentera dengan catatan terbaik 1’42.986s.

Google ads
Back to top button