Motosikal

RAHSIA SISTEM ELEKTRONIK MOTOGP – JANGAN BAGI TAHU JIRAN ANDA SEKALI PUN

Dalam dunia di mana segalanya elektronik ini, memang menjadi kemestian ia juga digunapakai dan dieksploitasi dalam perlumbaan MotoGP. Maunya tak, pergi tandas pun kat KL banyak yang dah pakai fungsi auto flush, sesuai sangat sangat la untuk golongan yang pemalas. Ini ada sedikit rahsia tentang sistem elektronik MotoGP yang didedahkan oleh pasukan Repsol. Mana tau team Movistar nak belajar sikit-sikit kan?

Walaupun terdapat beberapa larangan dan peraturan sejak pengenalan switchboard dan perisian tunggal untuk semua pasukan, elektronik masih merupakan perkara penting dalam mengoptimakan kuasa enjin motosikal.

Ia juga cukup penting sebagai satu ciri keselamatan jentera perlumbaan. Bayangkan untuk menguasai daya pecutan pada sebuah jentera yang cukup ringan tanpa bantuan elektronik, agak mustahil kan? Tanpa sistem ini, dengan pecutan maksima bukan setakat pada gear satu, gear dua dan tiga pun tayar belakang masih akan menggelongsor sewaktu mengambil selekoh. Inilah saat dimana kawalan cengkaman memainkan peranannya.

Traction Control

Traction control ataupun kawalan cengkaman biasanya berfurngsi berdasarkan data yang dihantar oleh sensor kelajuan roda. Jika roda belakang berpusing lebih laju berbanding  roda hadapan (sekitar 12 peratus berdasarkan tetapan yang diingini), sistem kawalan cengkaman akan berfungsi untuk membetulkannya. Ini kerana tayar belakang yang tergelongsor akan membahayakan kestabilan secara keseluruhan dan cengkaman itu sendiri.

Dalam kes ini juga, kawalan cengkaman akan memaklumkan ECU untuk bertindak, biasanya dengan mematikan pendikit. Ini hanya boleh dilakukan dengan teknologi ‘ride by wire’ di mana kesemua sistem pendikit dan bukaan injapnya dikawal dengan sambungan elektrik (bukannya sistem kabel). Satu lagi ciri ialah dengan mengawal tetapan nyalaan selinder seperti mematikan letusan palam pencucuh (juga dilakukan secara elektronik) ataupun gabungan kedua langkah disebutkan tadi.

BACA: KTM BERMINAT UNTUK AMBIL ALIH DUCATI

Sistem ini juga mengambil kira sudut condong motosikal sebelum membuat sebarang perkiraan, begitu juga dengan posisi gear yang mengubah daya bila kuasa enjin disalurkan ke tayar belakang. Semua perkiraan tadi dilakukan dalam masa yang cukup pantas bagi mengelakkan sebarang kesudahan yang dramatik.

Terima kasih kepada sistem ini kerana kini pelumba boleh memecut dengan lebih selamat. Ia membenarkan tayar menggelongsor sedikit dan membantu mengekalkan brek agar tahan lebih lama.

Sistem anti-wheelie

Kawalan cengkaman membolehkan penunggang membuat pecutan maksima sama ada ketika bermula ataupun sebaik keluar dari selekoh. Tapi , cengkaman pada bahagian belakang ketika kuasa enjin memuncak akan mengangkat tayar hadapan seperti aksi wheelie. Wheelie dalam kampung memang best tapi bagi jentera MotoGP sewaktu berlumba ia bermaksud membazirkan masa. Jadi sistem anti-wheelie diperkenalkan sebaga satu lagi tetapan elektronik.

Jika kawalan cengkaman ialah satu ciri keselamatan, sistem anti-wheelie pula lebih kepada untuk mengoptimakan prestasi jentera. Disebabkan beberapa sekatan ataupun had yang ditetapkan oleh Dorna kepada naiktaraf sistem, ini merupakan komponen yang lebih asas berbanding sebelum pengenalan switchboard dan perisian tunggal untuk semua pasukan.

Sama seperti kawalan cengkaman, sistem anti-wheelie juga membandingkan kelajuan kedua roda sewaktu membelok. Ia akan mengesan bila tayar hadapan semakin perlahan bila enjin membuat pecutan. Sensor pada bahagian suspensi hadapan akan mengesan jika tayar hadapan terangkat ataupun tidak. Terletak pada bahagian fork hadapan ia akan menunjukkan kedudukan sistem suspensi. Jika ia dipanjangkan sepenuhnya, ia bermakna tayar hadapan sudah pun di udara dan sistem anti-wheelie mesti bertindak.

Bila ia mula beroperasi, anti-wheelie akan membuat kawalan yang sama dengan kawalan  cengkaman, mengurangkan bukaan injap pecutan dan mengambil langkah perlu untuk memastikan tayar hadapan tidak akan terus terangkat ke udara.

Dua sistem ini merupakan contoh bagaimana sistem elektronik dan pengumpulan data dilakukan dalam MotoGP. Kedua sistem ini memastikan prestasi motosikal yang optima dan membolehkan penunggang memaksa diri mereka menghampiri batasan sewaktu berlumba.

sumber Boxrepsol.com

 

Google ads
Back to top button