
REMAJA TOLAK TAWARAN TIGA UNIVERSITI SEBAB NAK JADI PEMANDU BAS DI SINGAPURA
Pada usia 23 tahun, Matthew Tay mempunyai kerjaya yang jauh dari kebiasaan di Singapura. Menolak tawaran daripada tiga universiti tempatan, Tay membuat keputusan untuk meneruskan minatnya iaitu menjadi seorang pemandu bas untuk syarikat bas swasta A&S Transit.
Dia mendokumentasikan perjalanannya sebagai pemandu bas di akaun TikToknya – @idrivebus. Video memperincikan cara-cara untuk menjadi pemandu bas memperoleh lebih 151,500 tontonan. Tay turut berkongsi dengan pengikutnya apa patut dilakukan sebagai seorang pemandu bas.
Minatnya terhadap bas bermula sejak berumur tujuh tahun lagi. Ketika itulah dia mula memberi lebih perhatian kepada persekitaran dan mendapati reka bentuk bas sangat menarik.

Dia kerap melukis bas pada masa lapang dengan lakaran pertamanya ialah bas awam yang berhenti berhampiran rumahnya. Pada tahun 2010 ketika dia berumur 11 tahun, Tay menyertai satu komuniti penggemar bas di Facebook.
Tay menyedari bukan dia sahaja yang sukakan bas, malah ada ramai turut menyukai pengangkuran awam tersebut.
“Apabila menyertai komunit itu, saya mendapat ramai kawan dan kami keluar untuk mengambil gambar bas. Dari situ, semangat berkembang daripada hanya mengambil gambar kepada akhirnya memandu bas bersama-sama.” Daripada lima orang yang rapat dengannya dalam komuniti itu, tiga kini menjadi pemandu bas.
Apabila ibu bapanya mengetahui minat Tay, mereka mula membawanya ke pelbagai persimpangan bas untuk mengumpul risalah yang memperincikan pelbagai laluan bas.

Apabila ditanya apakah bas kegemarannya, dia mempunyai masa yang sukar untuk membuat keputusan tetapi akhirnya memutuskan jawapan dengan memilih “bendy buses”.
Dalam salah satu perjalanannya pada tahun 2012, dia bertemu dengan wanita yang kemudian akan menjadi ibu baptisnya di salah sebuah persimpangan bas di Yishun. Dia ialah seorang pemandu bas ditugaskan untuk memandu perkhidmatan bas baharu lalu memutuskan untuk menaiki salah satu bas untuk membiasakan dirinya dengan laluan itu.
Selama bertahun-tahun Tay menaiki bas tersebut dengan lebih kerap, kebaikan dan dedikasinya terhadap pekerjaan itu meninggalkan kesan mendalam kepadanya.
“Sehingga kini, dia tidak pernah merungut mahu berhenti. Bahkan dia berusaha keras untuk menyediakan perkhidmatan terbaik seperti mengiringi warga emas menaiki bas. Selain sentiasa memberi perhatian khusus kepada keperluan penumpang,” kata Tay.
Pada tahun 2021, rakan Tay yang bekerja di syarikat bas swasta A&S Transit menawarkannya kerja sambilan sebagai pemandu. Jadi pada usia 22 tahun, dia mengambil kursus memandu dan lesen vokasional Kelas 4, ketika dia masih berada dalam National Service (NS).
Walaupun ibu bapanya berasa was-was pada awalnya, dia mengambil peluang itu, dan mulai bertugas pada Julai tahun ini selepas dia menamatkan NS. Bekas pelajar Politeknik Temasek itu berjaya menerima tawaran daripada National University of Singapore, Nanyang Technological University dan Singapore Management University untuk menyambung pengajiannya tetapi dia menolak lalu memberitahu ibu bapanya untuk melakukan hal yang disukainya.
Buat masa ini, Tay tidak berhasrat untuk melanjutkan pelajaran dan mahu untuk bekerja di bahagian operasi di sebuah syarikat pengangkutan awam pada masa hadapan.
Walaupun kebanyakan orang mungkin mempunyai tanggapan bahawa pemanduan bas adalah untuk orang lebih tua, Tay menegaskan bahawa terdapat sebilangan pemandu muda di Singapura, malah ada yang lebih muda daripadanya.
Walaupun memandu bas adalah minatnya, Tay berkata kerja itu datang dengan cabaran tersendiri. Misalnya terpaksa berdepan dengan pemandu yang tidak sabar, enggan memberi laluan kepada bas serta pelanggan tidak begitu ramah.
Namun itu tidak menghalang dirinya terus bersemangat. Sebaliknya, dia merasa puas kerana dapat memandu ramai orang ke pelbagai destinasi.
- BACA: CUBA LARI DARI DIKEJAR, PEMANDU BAS RAPIDKL REMPUH BANYAK KERETA DI KL MALAM SEMALAM
- BACA: PEMANDU FORD MUSTANG BERDEPAN HUKUMAN PENJARA 6 TAHUN – LANGGAR BAS SEKOLAH PULOK DOH
- BACA: PUKUL PENUNGGANG BASIKAL DENGAN BATANG BESI, PEMANDU WIRA BIRU DIPANGGIL POLIS
- BACA: GAJAH AMUK ‘SERANG’ BAS. TENANG JE PEMANDU TU









