
PENDAFTARAN MINAT JAECOO J7 RASMI DIBUKA BERMULA 10 APRIL, ANGGARAN HARGA RM150K
Model JAECOO J7 yang dinanti-nantikan secara rasminya akan mula menerima pendaftaran mulai 10 April 2024.
Peminat SUV lasak premium ini boleh mendaftarkan minat di jelajah (roadshow) JAECOO Premier Experience yang terletak di Pusat Beli-belah 1Utama (Aras LG, Highstreet) atau melalui laman sesawang rasmi JAECOO Malaysia.
JAECOO Malaysia memberi gambaran harga bagi model J7 yang didatangkan dalam dua varian iaitu JAECOO J7 All-Wheel Drive (AWD), dianggarkan sekitar RM160,000 sementara, JAECOO J7 Two-wheel Drive(2WD) dianggarkan sekitar RM150,000.
Pelanggan juga mempunyai pilihan empat warna, iaitu Moonlight Silver, Carbon Crystal Black, Khaki White dan Model Green.

Tambahnya lagi, penghantaran kereta kepada pelanggan dijangka bermula pada suku ketiga tahun ini, bergantung kepada jumlah pendaftaran manakala pandu uji model J7 dijangka bermula pada bulan Mei.
Untuk spesifikasi, JAECOO J7 dijana oleh enjin 1.6-liter turbo, berupaya menghamburkan kuasa 194hp dan 290Nm tork.
Nadi berkenaan dipadankan dengan kotak gear dwi-klac 7-kelajuan dan kuasa disalurkan ke semua roda dengan kelajuan maksimum 210 km/j.
Selain itu, ia juga menampilkan ciri-ciri canggih seperti cip Qualcomm 8155, 7 nm terkini, yang menyediakan kuasa pengkomputeran dan responsif luar biasa, termasuk masa boot-up 2 saat serta keupayaan untuk memproses lebih dari 20 arahan dalam 30 saat.
Tambahan, J7 turut menampilkan sistem perkakasan pintar ‘1+2+1’ iaitu satu kamera pandangan hadapan multifungsi (FCM), dua radar gelombang milimeter (CRM) dan satu radar gelombang milimeter (FRM).