Buletin

PENDUDUK KAMPUNG SHENLONGWAN BIKIN JALAN SENDIRI SELAMA 15 TAHUN. GUNA PAHAT DAN TUKUL JE!!!

Penduduk perkampungan terpencil Shenlongwan yang terletak di wilayah Shanxi, China menghabiskan masa selama 15 tahun membikin laluan jalan untuk menghubung dunia luar.

Menariknya, penduduk perkampungan di kawasan pergunungan yang terkenal dengan sumber kacang walnut dan buah pear itu menggunakan pahat serta tukul untuk membina laluan sejauh 1.5 km tersebut.

Mereka terpaksa berbuat demikian kerana berdepan kesukaran membawa hasil sumber pendapatan untuk mengubah nasib daripada kemiskinan.

Ia berikutan sehingga tahun 2000, terdapat dua cara sahaja untuk penduduk di situ sampai ke bandar Changzhi.

Kaedah tersebut merupakan melencongkan perjalanan merentas lapan kawasan bandar di tiga wilayah berbeza dan mengambil risiko memanjat tangga sempit untuk sampai ke satu laluan curam atas gunung.

Penduduk Shenlongwan akhirnya memutuskan membina laluan sendiri  selepas pihak berkuasa enggan membina jalan raya ke kampung mereka. 

Salah seorang penduduk yang terlibat dalam pembinaan laluan berkenaan, Duan Jianlin, berkata mereka terdesak memerlukan jalan raya.

“Kalau kami tidak dapat menyiapkan dalam tempoh satu tahun, kami cuba dua tahun. Kalau gagal juga, kami akan membina dalam tiga tahun,” katanya.

Pembinaan laluan sepanjang  1,526 meter mengambil masa kira-kira 15 tahun, untuk disiapkan penduduk tersebut bermula tahun 1985 sehingga 2000.

Laluan pendek itu bukan hanya membuka potensi pelancongan dan perdagangan baharu tetapi membantu penduduk Shenlongwan keluar daripada kemiskinan.

Sehingga kini, lebih 60 peratus daripada kira-kira 700 penduduk di kampung itu berkecimpung dalam bidang perniagaan berhubung kait industri pelancongan.

Pendapatan perkapita sebelum laluan itu dibuka ialah 680 yuan (RM443) dan kini meningkat kepada 12,000 yuan (RM7,826) kerana akses jalan gunung tersebut. –odditycentral

Google ads
Back to top button