Buletin

JKR HULU LANGAT LAKSANA TEKNOLOGI ‘GLOW IN THE DARK’, BANTU PEMANDUAN LEBIH SELAMAT

Pemanduan lebih selamat dengan bantuan pantulan cahaya pada pembahagi jalan yang dicat menggunakan teknologi ‘glow in the dark’.

Ahli Parlimen Hulu Langat, Mohd Sany Hamzan berkata, projek perintis itu dilaksanakan Jabatan Kerja Raya (JKR) Daerah Hulu Langat di Jalan Sungai Lalang (B19) di sini.

Mohd Sany berkata, teknologi menghasilkan pantulan cahaya daripada lampu kenderaan itu merupakan inovasi dalam kejuruteraan jalan.

“Dengan mengekalkan ciri pemantulan cahaya kuning dengan penggunaan High Intensity Prismatic Sheet, kaedah pencahayaan ditambah baik dengan ciri phosphorescence mengandungi elemen pigmen phosphors bagi mengeluarkan cahaya yang boleh dilihat selepas diberi tenaga.

“Sumber tenaga adalah sama ada dari cahaya matahari atau lampu kenderaan yang diserap, sebelum ia bercahaya semula dan dapat dilihat pada waktu malam,” katanya menerusi perkongsian di Facebook.

Difahamkan, cat jalan berkenaan berada sepanjang 490 meter bagi permulaan.

Teknologi ini pernah tular di luar negara yang penggunaan cat ini dapat membantu pemandu melihat jalan lebih mudah.

Cat berkenaan mengeluarkan cahaya berwarna hijau ketika kenderaan melalui kawasan gelap pada waktu malam. – Sinar Harian

Google ads
Back to top button