DUA GENG MONYET ‘BERSIDANG’ DI JALAN RAYA HINGGA BERGADUH. CETUS KESESAKAN LALU LINTAS
Dua geng monyet yang ‘bersidang’ di tengah-tengah kesibukan lalu lintas sehingga tercetus pergaduhan mengejutkan pengguna jalan raya di Thailand.
Bahkan, tindakan kumpulan monyet terbabit menyebabkan kesesakan lalu lintas berikutan pengguna jalan raya terpaksa menunggu ‘perbalahan’ selesai.
Pada kebiasaannya, kumpulan monyet itu akan dijamu makanan oleh para pelancong ataupun pengunjung di kawasan tersebut.
Bagaimanapun, berikutan gelombang ketiga pandemik Covid-19 melanda negara berkenaan menyebabkan kekurangan bekalan makanan di bandar Lopburi.
Melalui rakaman video, kedua-dua kumpulan monyet itu sedang bersemuka di sebuah persimpangan jalan yang sibuk dan telah menyukarkan kenderaan bergerak.
Jelas kelihatan terdapat jurang antara kedua kumpulan itu tetapi beberapa ekor monyet bertindak bagaikan ‘hero’ untuk menunjukkan kuasa dan melakukan provokasi terhadap ‘musuh’ sebelum bermula geng fight.
“Saya berada di sebuah bangunan berhampiran kuil dan mendengar monyet-monyet membuat bising.
“Mereka dilihat seperti sedang ‘berhujah’ sesama sendiri sebelum tercetus pergaduhan,” kata Khun Itiphat. –DailyMail