KEMELUT AAM & PJS. KENAPA KAMI JADI MANGSA? – SHAHRUL YUZY
Salam buat warga sukan permotoran…
Rasanya ramai yang sudah tahu tentang kemelut yang melanda sukan permotoran negara yang tengah hangat ketika ini. Saya tidak mahu memberi komen tentang masalah antara AAM, PJS, KBS ataupun mana-mana pihak berkepentingan lain walaupun secara peribadi, saya rasa keputusan ini tergesa-gesa dan meminggirkan kami yang bergelar PELUMBA.
Apa yang saya ingin luahkan di sini adalah tentang nasib kami pelumba-pelumba, pasukan mahupun individu-individu yang terbabit secara terus dengan sukan permotoran tidak kira dua roda ataupun empat roda.
Sepanjang hampir 30 tahun saya terbabit dalam sukan permotoran dan telah membawa nama negara ke serata pelusuk dunia, saya rasa masalah seperti ini tidak sepatutnya berlaku. Jika pun nak batalkan sangat AAM, sepatutnya penggantinya sudah ada dan diberi mandat oleh FIM ataupun FIA.
Kami hanya mahu berlumba kerana ini punca rezeki kami, ini minat kami, dan ini sumbangan kami kepada negara. Bukan saya saja, tapi ramai lagi pelumba-pelumba dan pasukan-pasukan yang menjadikan sukan permotoran sebagai karier. Contoh di Cub Prix sahaja saya rasa ratusan atau ribuan individu yang terbabit setiap kali perlumbaan.
Tahukan anda untuk kami berlumba, pelumba memerlukan lesen perlumbaan sah yang turut mengandungi insurans perlumbaan. Begitu juga dengan penganjur yang memerlukan ‘Sanction Body’ untuk mengiktiraf dan juga mendapat permit perlumbaan.
Apa yang saya baca dalam surat yang dikeluarkan di perenggan terakhir, “BUAT MASA INI ADALAH DINASIHATKAN AGAR MANA-MANA PIHAK TIDAK BERURUSAN DENGAN AAM SEHINGGA BADAN PENGELOLA BAHARU DIMUKTAMADKAN? Persoalannya SAMPAI BILA? SIAPA? APA WAJARNYA TINDAKAN DAN ARAHAN INI? KAMI NI PELUMBA HARAM KE?
Bukan saja dalam negara, untuk berlumba di peringkat antarabangsa juga, setiap pelumba memerlukan lesen atau ‘pelepasan’ dari dalam negara. Jadi, lesen apa yang kami nak gunakan?
Ramai pelumba negara terbabit bukan sahaja di Asia malah di Eropah sana. Kalau tengok jadual perlumbaan tempatan dan antarabangsa, saya rasa ada empat atau lima perlumbaan untuk bulan April sahaja.
Jadi, apa status kami untuk berlumba? Ataupun kami terpaksa menanggung kerugian yang saya rasa bukan sikit untuk dinyatakan hanya kerana masalah mereka-mereka yang tidak memikirkan kepentingan kami sebagai pelumba.
COME ON!!!
Mereka-mereka inilah yang telah mengharumkan nama negara. Sudah berapa ramai juara dilahirkan, sudah berapa ratus kali lagu Negaraku berkumandang di seluruh dunia, namun hari ini kami ‘tidak ada lesen’ lumba hanya kerana terujanya pihak terbabit untuk mengeluarkan satu notis pembatalan??? Apa agaknya yang ada dalam fikiran mereka-mereka yang membuat keputusan ini?
Adakah pandangan kami pelumba selama ini didengar? Setakat mana sahaja kami diberi perhatian selama ini? Sudahlah selama ini terpaksa berdiri di atas kaki sendiri, ke sana-sini untuk mencari penaja atau dana untuk berlumba, usahkan bantuan atau dana, tapi penghargaan atau pengiktirafan kepada pelumba-pelumba sebagai atlet negara pun kami tak rasa.
Tetapi bukan itu yang kami keluhkan. Kami teruskan juga demi minat, rezeki dan semangat untuk terus melahirkan dan mengharumkan nama negara.
Wahai pihak-pihak terbabit di atas sana, dengar dan pandanglah kami pelumba-pelumba ‘HALAL’ selama ini. Buatlah satu keputusan yang tidak meminggirkan kepentingan kami. JANGAN ZALIM TERHADAP KAMI! Kami hanya nak berlumba.
……………………………………………………………….
Pihak mekanika telah menghubungi saudara Shahrul Yuzy sebentar tadi bagi mendapatkan penjelasan lanjut dari beliau.
Menurut beliau, semua pihak dalam industri permotoran sekarang sedang bingung dengan keadaan sekarang dan inginkan penjelasan lanjut dari pihak PJS berkenaan status mereka.
Difahamkan satu perjumpaan akan diadakan antara pasukan, pelumba dan persatuan permotoran dengan PJS untuk mendapatkan penjelasan berkaitan pengharaman AAM.
“Kami tiada masalah, siapapun yang jadi “sanction body” pun kami akan akur. Cuma ia perlu dibuat dengan betul dan bukan pecat pihak sana tapi tak ada penyelesaian lain.
“Kita sebuah negara kecil saja, benda begini tak patut berlaku pun. Tolonglah selesaikan apa juga masalah antara kamu dan tolong beritahu apa status terkini kepada pihak kami yang terlibat dalam industri ini”