Motosikal

SUZUKI HAYABUSA 2022 DIPERKENAL, WARNA PUTIH TENANG UNTUK MOTOSIKAL LAJU!

Suzuki Hayabusa adalah motosikal agung. Namanya sendiri merujuk kepada burung yang terkenal dengan kelajuan sehingga melebihi 320 km/j.

Sewaktu mula diperkenalkan pada tahun 1999, Suzuki Hayabusa mencatatkan rekod motosikal produksi paling laju dengan kelajuan maksimum 303 hingga 312 km/j.

Generasi kedua diperkenalkan pada tahun 2008 dan Hayabusa kini berada di dalam generasi ketiga selepas dilancarkan pada tahun 2021.

 

Untuk pasaran Eropah, Suzuki baru sahaja memperkenalkan Hayabusa 2022 dengan warna pearl brilliant white baharu dan tambahan kepada warna hitam dan oren, perak kusam dan merah sedia ada.

Hayabusa generasi ketiga tampil dengan perubahan besar termasuk sistem elektronik paling canggih dari Suzuki.

Di antaranya ialah mod kawalan cengkaman sepuluh sudut condong sensitif (10 lean angle), ABS sudut condong sensitif, tiga mod kuasa, quickshifter dua arah, kawalan jelajah dan penghad kelajuan.

Turut dilengkapi kawalan mula (launch control) tiga peringkat yang dikawal menggunakan gear suis dan diselia melalui paparan TFT berwarna.

Seperkara menarik, Hayabusa masih mengekalkan meter analog seperti model terdahulu.

Selain pakej elektronik canggih, Suzuki merombak semula enjin dengan menggunakan pelbagai komponen baharu seperti omboh, rod penyambung, aci engkol dan aci sesondol.

Perubahan itu dibuat bagi mempertingkatkan prestasi pada julat kuasa rendah hingga ke pertengahan. 

Hasilnya Hayabusa baru mempunyai prestasi mula paling pantas dengan angka tork lebih tinggi berbanding model terdahulu.

Secara spesifik, enjin 1340 cc Hayabusa mempunyai kuasa 190 PS pada 9,700 rpm dan tork 150 Nm pada 7,000 rpm.

Dari segi reka bentuk, beginilah identiti Hayabusa sejak dahulu dan diperkemaskan lagi supaya lebih sesuai dengan keperluan semasa.

Di United Kingdom, harga yang disyorkan untuk Suzuki Hayabusa adalah £16,499 (RM92,724).

Untuk pasaran tempatan, Hayabusa 2021 baru sahaja dilancarkan pada Oktober dengan harga RM111,200.

Google ads
Back to top button