Buletin

PERODUA ALZA BAHARU BAKAL LANCAR TAHUN DEPAN. LEBIH SELAMAT, BERTEKNOLOGI TINGGI

Seperti yang pernah kami laporkan sebelum ini, Perodua akan menghentikan produksi model MPV popularnya Alza pada Januari 2022. 

Ini sekali gus memberi laluan untuk Perodua melancarkan model pengganti Alza ke pasaran tempatan pada tahun depan. Perkara itu disahkan sendiri oleh Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Perodua, Dato’ Zainal Abidin Ahmad dalam satu sidang media sempena program pandu uji Myvi facelift di Iskandar Puteri, Johor Bahru minggu lalu.  

Namun, tarikh tepat bilakah jentera yang sedang dalam fasa ujian akhir itu akan dilancarkan tidak diberitahu. 

Menurut Zainal, kitaran hidup biasa untuk sesebuah model Perodua ialah sekitar lima hingga enam tahun sebelum ia ditukar dengan model serba baharu. Tetapi, Alza yang mempunyai peminat tersendiri dan masih mampu dijual sebanyak 1,500 unit sebulan itu sudah berada di pasaran selama 12 tahun. 

Jika ditukar kepada umur manusia, setahun kereta bersamaan lapan tahun umur manusia. Jadi, Alza sebenarnya sudah mencecah usia 160 tahun, tetapi masih terus popular.  

“Kalau dilihat dari segi perniagaan, kami tidak perlu tukar model ini. Tetapi, Perodua ialah sebuah syarikat kereta nasional yang bertanggungjawab. Kami mahu pelanggan di Malaysia memandu sebuah kereta yang selamat dan menikmati teknologi baharu,” kata Zainal. 

Khabar angin mengenai model pengganti Alza sudah timbul sejak awal tahun ini. Ia dikuatkan lagi dengan pelancaran model Toyota Avanza dan Daihatsu Xenia di Indonesia baru-baru ini.  

Jika dilihat kepada sistem keselamatan yang ada pada model Perodua sekarang, tidak mustahil Alza baharu dilengkapi Perodua Smart Drive Assist (PSDA) yang terdiri daripada Advance Safety System (ASA 3.0).

Besar kemungkinan juga MPV tersebut akan dipasang dengan kotak gear D-CVT, sama seperti Ativa dan Myvi facelift untuk menggantikan transmisi 4AT. 

Google ads
Back to top button