
PERODUA ATIVA HYBRID MUNCUL LAGI. CBU JEPUN, 300 UNIT SAHAJA, HANYA DIJUAL SECARA PAJAKAN?
Sebaik sahaja dilancarkan pada Mac 2021 ke pasaran tempatan, Perodua Ativa yang menggantikan SUV kompak Kembara pantas menerima sambutan menggalakkan daripada pengguna.
Ativa bukan sahaja tampil dengan reka bentuk luaran yang menarik, malah pelbagai teknologi terkini dan enjin turbo bersesaran 1.0 liter juga menjadi antara tarikan utama untuk orang ramai memilikinya.
Kalau anda masih ingat, tidak lama selepas ia dilancarkan, kelibat sebuah Daihatsu Rocky (kembar Ativa di pasaran Jepun) yang menggunakan sistem hibrid dikesan diuji di Bukit Bintang. Kehadiran model itu diakui sendiri oleh Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Perodua, Dato’ Datuk Zainal Abidin Ahmad.
Menurut Zainal, pihaknya sedang menguji model hibrid itu bagi tujuan penilaian sebelum ditawarkan ke pasaran.

Baru-baru ini, muncul pula beberapa keping gambar unit hibrid berkenaan yang langsung tidak menerima sebarang perubahan dari segi luarannya. Dikongsi oleh Soh Lin Siong ke laman Perodua Ativaäøęäŗ¤ęµåŗļ¼D55L ), jentera itu bagaimanapun dipasang dengan logo Perodua.
Memetik laporan rakan media Automachi, Ativa Hybrid yang menggunakan kod nama D47B itu ialah unit CBU dari Jepun. Pada peringkat permulaan, Perodua dijangka hanya membawa masuk 300 unit model berkenaan dan ditawarkan dalam bentuk pajakan sahaja.
Untuk pasaran Jepun, Daihatsu Rocky e:Smart Hybrid dipasang dengan rangkaian kuasa enjin 1.2 liter NA berkuasa 82hp dan tork 105Nm. Kuasa enjin itu tidak disalurkan ke roda, tetapi digunakan untuk mengecas bateri berkapasiti 4.3Ah yang kemudian dihantar ke motor elektrik berkuasa 106hp dan tork 170Nm.
Memandangkan ia hanya digerakkan oleh motor elektrik, maka Daihatsu Rocky e:Smart Hybrid mampu menawarkan pecutan lebih senyap, bertenaga dan digabungkan bersama pemanduan Smart Pedal.
Penggunaan bahan api pula sangat bagus iaitu sekitar 3.57 liter bagi setiap 100km. Sebagai perbandingan, enjin turbo 1.0L pada Ativa menawarkan penggunaan bahan api 5.29l/100km.
Dengan kelebihan tersebut, saya yakin ramai yang tidak sabar untuk menunggu pelancaran Ativa Hibrid yang dijadual pada akhir tahun ini.