Buletin

PERODUA SASAR JUAL 240K UNIT KENDERAAN PADA TAHUN 2021

Perodua mensasarkan untuk menjual 240,000 unit kenderaan pada 2021, naik 9 peratus daripada 220,163 unit yang dijual sepanjang tahun  2020.

Sasaran itu dibuat permintaan tinggi ke atas model-modelnya serta lanjutan pengecualian cukai jualan yang diumumkan kerajaan. Sebagai perbandingan, Perodua telah menjual 240,341 kenderaan pada 2019.

Jualan 220,163 unit pada 2020 itu terdiri daripada 66,330 Myvi, 59,651 Axia, 56,996 Bezza, 22,494 Aruz, 14,691 Alza. Jika dibandingkan dengan jumlah keseluruhan industri (TIV) yang sebanyak 529,434 unit, ini bermakna Perodua menguasai 41.6 peratus pasaran.

“Dengan pengecualian cukai jualan yang dilanjutkan sehingga akhir Jun 2021, perkembangan vaksinasi COVID-19 dan permintaan berterusan bagi semua model Perodua, kami yakin 2021 akan menjadi tahun pemulihan,” kata Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Perodua, Dato’ Zainal Abidin Ahmad.

Perodua dan ekosistem automotif Malaysia menghargai segala sokongan kepada industri. Selain akan memberi kerjasama penuh kepada kerajaan dalam memastikan semua prosedur operasi standard berkaitan COVID-19 dipatuhi.

Dengan jualan Perodua dijangka pulih, pengeluar kenderaan kompak tersebut dilapor bakal membeli komponen tempatan sebanyak RM6.5 bilion pada tahun ini.

“Memandangkan prestasi pada hujung tahun 2020 lebih baik daripada jangkaan Perodua dan industri, jadi kami ingin menambah stok dengan menaikkan sasaran pengeluaran kepada 272,000 kenderaan tahun ini, paling tinggi dalam sejarah Perodua.

“Kenaikan ini akan membawa kepada penyerahan kenderaan yang cepat pada tahun ini,” kata Zainal.

Sasaran pengeluaran Perodua pada tahun 2021 mewakili peningkatan sebanyak 23 peratus daripada 220,968 unit yang dikeluarkan pada 2020.

Harus tahu bahawa semua model Perodua mengandungi lebih 90 peratus komponen tempatan. Ini sekali gus menjadikannya kekal sebagai pembeli komponen automotif terbesar di Malaysia.

Perodua juga mensasarkan peningkatan 20 peratus dalam pengambilan servisnya, daripada 2 juta unit pada 2020 kepada 2.4 juta unit pada 2021. Ia melibatkan  pelanggan sedia ada dan baharu.

“Dalam usaha untuk terus mendapat sokongan daripada para pelanggan, Perodua akan mengubah pendekatan dalam segala aspek. Sama ada dari segi perhubungan pelanggan, nilai-nilai mahupun operasi, terutama bahagian jualan, Perodua Sales Sdn. Bhd.,” kata Zainal.

Pendekatan yang dikenali sebagai ‘Perodua Smart Build’ itu akan merevolusikan penawaran Perodua. Di samping meningkatkan lagi kemampuan operasi syarikat berkenaan.

Google ads
Back to top button