
INI CONTOH RANGKA KERETA ALUMINIUM, GUNA UNTUK POLESTAR 5
Buat peminat model berprestasi Volvo, jenama Polestar memang besar. Cumanya Polestar sudah berevolusi daripada penala kenderaan kepada jenama yang menghasilkan kenderaan elektrik premium.
Polestar dijenamakan semula pada tahun 2017 dan diasaskan secara bersama di antara Volvo Cars dan Geely Holding.
Ibu pejabat Polestar terletak di Gothenburg, Sweden dan menjual kereta di banyak buah pasaran seperti Eropah, Amerika Utara dan Asia Pasifik.
Polestar sekarang ini mempunyai dua kilang di China dan merancang untuk membuka sebuah kilang di Amerika Syarikat.
Walaupun mempunyai hubungan kuat bersama Volvo, Polestar hadir dengan model dan reka bentuk tersendiri.
Terbaru Polestar memaklumkan model terbaru Polestar 5 akan menggunakan platform jenis aluminium cantuman (aluminium bonded).
Polestar 5 adalah model empat pintu GT (grand touring) dan seperti biasa, dijana kuasa elektrik.
Seperkara tentang platform aluminium cantuman adalah ianya ringan dan tegar namun tidak digunakan secara meluas.
Penghasilan platform jenis ini memerlukan tenaga kerja ramai dan sukar untuk digunakan pada kenderaan massa tanpa mengorbankan kualiti.
Untuk kereta sport misalnya tiada masalah kerana stratergi pemasaran dan pengeluaran tidak sama seperti kenderaan massa.
Polestar memaklumkan cabaran ini berjaya ditangani oleh 280 kakitangan yang terdiri daripada bekas pasukan Formula 1 dan mereka yang mahir dalam pembuatan kereta sport.
Mereka telah berjaya membangunkan proses pengeluaran baharu yang lebih pantas dengan badan dan platform kereta dibangunkan secara serentak.
Platform pertama yang dibangunkan secara dalaman ini membolehkan Polestar 5 direka dengan ketegaran kilasan (torsional rigidity) lebih baik berbanding kereta sport dua pintu dan kereta super kebiasaan.
Selain itu, hasil daripada bahan dan teknik baharu tersebut platform dan badan (body in white) dijangka lebih ringan berbanding segmen kereta yang lebih kecil.
Hasilnya nanti akan menyumbang kepada kecekapan kenderaan yang lebih baik, tindak balas dinamik dan tahap keselamatan yang bagus.
Platform aluminium ini juga akan membantu dari segi pengenalan produk yang lebih pantas dan kualiti tinggi.
Pencapaian oleh Polestar ini adalah suatu yang menarik, platform aluminium cantuman memang sudah lama digunakan tetapi kali ini dibuat untuk kereta massa.
BACA: ADAKAH INI SENI? BANGUNAN POLESTAR BERKOTAK MACAM KERETA VOLVO
BACA: POLESTAR NAK ‘LAWAN’ PORSCHE
BACA: POLESTAR 2 ARCTIC CIRCLE – KERETA RALI ELEKTRIK ATAS SALJI!











