Buletin

POLIS KENYA BELI 30 UNIT PROTON X70 SEBAGAI KENDERAAN RASMI

Tahniah dan syabas buat Proton kerana dipilih menjadi kenderaan rasmi polis di Kenya. Itu antara reaksi pengguna laman sosial apabila melihat satu hantaran di laman Facebook Proton Kenya yang memaparkan deretan Proton X70 di salah sebuah syarikat pengimport kenderaan tersebut.

Menerusi hantaran di laman Facebook tersebut, Proton Kenya memaklumkan bahawa pihaknya telah menyerahkan sebanyak 30 unit SUV Proton X70 kepada pihak anggota keselamatan negara tersebut, ‘Kenya Police Service’ sebagai kenderaan rasmi mereka.

Model SUV Proton X70 dipiilih kerana mempunyai gayaan yang menarik, kestabilan dan selesa apabila dipandu. 

Proton Kenya memberitahu SUV tersebut hadir dalam dua warna iaitu biru dan hijau yang sebelum ini tidak pernah ditawarkan di Malaysia.

Majlis penyerahan Proton X70 itu diadakan di Ibu Pejabat Simba Corporation di Mombasa Road, kelmarin.

Susulan perkongsian tersebut, rata-rata netizen meluahkan rasa bangga dengan pencapaian syarikat automotif pertama negara itu.

“Bangga dengan Proton sehingga ‘orang luar’ tahu kualiti kereta kita dan jenama kita,” tulis Anuar Alias. Turut meninggalkan komen adalah seorang lagi pengguna dikenali sebagai HW Jidin. “Bangga apabila melihat kenderaan jenama Malaysia di negara asing,” ujarnya.

X70 ialah SUV pertama yang diperkenalkan oleh Proton pada akhir tahun 2018. Sehingga kini, lebih 48,000 unit X70 telah berjaya dijual. 

Proton X70 turut dieksport ke beberapa buah negara luar seperti Brunei, Indonesia, Pakistan dan terbaharu di Kenya pada Ogos tahun lalu sebagai model CKD (pemasangan tempatan).-K! ONLINE

Google ads
Back to top button