Buletin

POLIS MICHIGAN UJI MUSTANG MACH-E, OKAY TAK MACAM NI?

Kebanyakan kereta elektrik hari ini diketengahkan sebagai mod pengangkutan mobiliti untuk kegunaan harian.

Kereta elektrik yang berada di pasaran sekarang biasanya mempunyai jarak pemanduan 200 hingga 400 kilometer dan sudah memadai untuk urusan harian seperti ulang-alik ke tempat kerja, sekolah anak dan sebagainya.

Selain dari mobiliti harian, nampaknya ada pihak berkuasa sedang mempertimbangkan kereta elektrik sebagai kenderaan tugasan.

Pada awal September 2021, Ford memaklumkan beberapa jabatan polis di United Kingdom berminat untuk menguji Mustang Mach-E sebagai kereta peronda.

Terbaru Ford menyediakan dan menghantar Mustang Mach-E untuk diuji oleh Polis Michigan (MSP), Amerika Syarikat.

Sesi ujian tersebut atau Michigan State Police 2022 Model Year Police Evaluation berlangsung pada 18 dan 20 September 2021.

Penghantaran itu dibuat bagi menunjukkan keupayaan prestasi nadi elektrik dan keupayaan dalam mendepani tugasan harian pihak polis.

Ford juga akan menggunakan program tersebut sebagai penanda aras dalam meneroka kenderaan elektrik khusus untuk kegunaan polis pada masa depan.

Berbeza dengan kereta peronda Polis UK, Ford tidak memaklumkan secara terperinci perubahan yang dibuat pada unit penilaian MSP.

Cuma logo yang tertera untuk unit ini ialah dari varian paling berkuasa Mustang Mach E GT.

Bahagian luar tampil ringkas dengan grafik ujian menandakan kereta ini untuk ujian dan tiada lampu lampu mata arah (beacon light).

Kereta peronda MSP sememangnya ringkas begini, badan luar warna biru, lampu jenis bulat berwarna merah dan bull bar di depan. 

Moto TO PROTECT & SERVE pula terpampang pada fender.

Di sebalik imej ringkas tersebut, kereta peronda MSP tidak kurang hebatnya seperti Dodge Charger, Chevrolet Tahoe Special Service Vehicle dan Ford Police Utility SUV.

MSP juga mempunyai motosikal Harley Davidson dan BMW R1200.

Cuma satu perkara tentang kereta peronda elektrik ialah di mana punca kuasa untuk pelbagai peranti diambil?

Untuk pasukan Polis UK, Ford ‘menarik’ elektrik dari bateri 12V dan bukan bateri pemanduan.

Ford juga menggunakan lampu LED dengan kadar penggunaan kuasa rendah supaya dapat mengurangkan tarikan kuasa dari sistem bateri 12V.

Dari segi prestasi, Mustang Mach E ada banyak varian dan kuasa. Paling berprestasi ialah Mustang Mach E GT dengan kuasa 358 kW (487PS) dan tork 813 Nm.

Kelajuan maksimum ialah 200 km/j manakala jarak pemanduan sejauh 500 kilometer (WLTP).

BACA: MUSTANG MACH-E POLICE CONCEPT, KERETA PERONDA ELEKTRIK!

BACA: FORD FIESTA ST 2021, 1.5L 3 SILINDER TURBO ECOBOOST!

BACA: FORD FOCUS ST EDITION, INI MEMANG HATCHBACK ‘BEST’!

Google ads
Back to top button