
POLIS THAILAND RAMPAS 5 KENDERAAN MEWAH BERNILAI RM1.7 JUTA BERKAIT KES PENGUBAHAN WANG HARAM
Siasatan terhadap kegiatan pengubahan wang haram berkait dengan perjudian dalam talian terus diperluaskan apabila pasukan Polis Cyber Thailand telah merampas lima buah kenderaan ubah suai yang dianggarkan bernilai lebih 13.5 juta Baht (sekitar RM1.7 juta).
Tindakan ini menyusuli penahanan lelaki berusia 32 tahun dikenali sebagai Ekchat atau “M”, bersama enam individu lain yang dipercayai menjadi sebahagian daripada sindiket tersebut.
Mereka kini berdepan pendakwaan atas kesalahan bersubahat dan melakukan aktiviti pengubahan wang haram, sebagaimana diperuntukkan di bawah Akta Pencegahan dan Pembanterasan Pengubahan Wang Haram B.E. 2542.


Setakat ini, pihak berkuasa telah menyita sebanyak 138 aset berkaitan, yang keseluruhannya dianggarkan bernilai melebihi 50 juta Baht.
Siasatan terperinci berdasarkan bukti kewangan dan keterangan saksi mendapati suspek turut memiliki pelbagai harta lain termasuk puluhan kenderaan yang disimpan oleh individu berlainan di beberapa lokasi.
Menariknya, selepas laporan kes mula tersebar, beberapa individu yang dipercayai menyimpan kenderaan milik Ekchat tampil ke hadapan dan menyerahkan kenderaan-kenderaan tersebut kepada pihak polis sebagai bukti kerjasama untuk membersihkan nama mereka.

Kesemua kenderaan kini berada dalam tahanan polis untuk tujuan pemeriksaan lanjut. Sekiranya didapati kenderaan tersebut diperoleh hasil daripada aktiviti haram atau digunakan dalam kegiatan jenayah, tindakan lanjut akan diambil terhadap pemilik, penyimpan atau mana-mana individu yang berkaitan, mengikut peruntukan undang-undang sedia ada.
Siasatan masih berjalan dan pihak berkuasa menyeru mana-mana individu yang menyimpan atau mengetahui maklumat berkaitan harta milik suspek untuk tampil membantu siasatan.