
PORSCHE AMBIL MASA SEHINGGA 4 TAHUN NAK LULUS WARNA LUARAN JENTERA
Sejak sedekad lalu, warna hitam, kelabu dan putih mendominasi sentuhan luaran model jentera-jentera di pasaran dunia.
Begitupun, baru-baru ini jenama Porsche mengumumkan bakal mengembangkan program Paint to Sample dengan menawarkan lebih banyak pilihan warna kepada para pelanggan.
Nampak mudah sahaja tetapi pelbagai prosedur rumit perlu dilaksanakan terlebih dahulu dalam mencari, memilih dan menguji warna baharu.

Pereka Bahagian Warna dan Reka Bentuk Trim Pusat Pembangunan Weissach Porsche, Daniela Milosevic berkata dia perlu memikirkan trend selama bertahun-tahun untuk memastikan warna pada jentera sepadan warna popular.
Dia menjelaskan ia berikutan warna cat yang dipertimbangkan pada hari ini tidak akan diluluskan sekurang-kurangnya tiga hingga empat tahun.
Setiap warna perlu melalui deretan ujian untuk mendapat kelulusan termasuk mampu bertahan apabila terdedah kepada cuaca.

Dalam ujian itu, cat akan diletakkan pada panel ujian yang terdedah kepada pancaran matahari selama dua tahun.
“Selain itu, terdapat juga ujian ketahanan keselamatan kebakaran, air laut dan impak batu.
“Plat sampel dikenali sebagai ‘warna katak’ dan ia kelihatan seperti model kecil 911,” kata Milosevic.
Bagi memperoleh inspirasi, Milosevic dan pasukannya akan memikirkan di luar dunia automotif dengan mengunjungi pameran seperti Milan Furniture Fair.

“Pasukan akan menggunakan rekaan dalaman dan seni bina sebagai sumber idea,” ujarnya.
Pada setiap tahun, Milosevic dan pasukannya akan membangunkan 12 warna cat untuk model serta derivatif.
Sebanyak empat warna sahaja akan dipilih dan dibangunkan daripada 12 warna berkenaan. – carscoops