Motosikal

PRA-TEMPAHAN TRIUMPH DAYTONA 660 DIBUKA – RM49,500?

Triumph Motorcycles memperkenalkan Daytona 660 serba baharu dalam satu pelancaran global pada Januari lalu. 

Bakal bersaing dengan Honda CBR650R, Yamaha R7, Kawasaki Ninja 650 dan Suzuki GSX-8R, Daytona 660 ternyata memiliki daya penarik tersendiri terutamanya dengan enjin tiga silinder yang ditawarkan. 

Terbaru, beberapa perkongsian di media sosial mendedahkan bahawa ada pihak yang sudah menerima pra-tempahan serendah RM500 bagi Daytona generasi terbaru itu di Malaysia. 

Lebih menarik, harga dinyatakan bagi model itu adalah RM49,500 sekaligus lebih rendah berbanding Tiger Sport 660 yang ditawarkan pada harga bermula RM50,900. 

Namun begitu, pihak pengedar rasmi Triumph Motorcycles di Malaysia masih belum mengumumkan harga rasmi buat masa ini. 

Untuk rekod, Daytona 660 merupakan model ketiga yang dikuasakan platform tiga silinder 660cc terbaru Triumph selepas Trident 660 dan Tiger Sport 660. 

Bagaimanapun, enjin tersebut telah ditala semula dan kini menawarkan 94hp dan 69Nm berbanding 81hp dan 64Nm yang dijana Trident 660 dan Tiger Sport 660. 

Kuasa lebih tinggi itu dicapai dengan menaik taraf ‘cylinder head’, ‘camshaft’, ‘crankshaft’ dan sistem ekzos 3-kepada-1  baharu. Namun, perubahan terbesar adalah beralih dari ‘single throttle body’ kepada ‘triple throttle body.

Berdasarkan maklumat diperolehi, Daytona 660 ini akan diperkenalkan lewat tahun ini. 

Google ads
Back to top button