Motosikal

TRIUMPH DAYTONA 660 LANCAR 9 JANUARI 2024 

Triumph Motorcycles bakal melancarkan model ketiga bagi keluarga 660 menerusi Triumph Daytona 660 pada 9 Januari 2024. 

Pengeluar motosikal Britain itu mengumumkan tarikh pelancaran rasmi model tersebut pada Selasa. 

Ketibaan Daytona 660 itu telah pun dijangka ekoran beberapa imej ‘spy shot’ telah pun tular di media sosial beberapa bulan lalu. 

Untuk rekod, Triumph meninggalkan arena supersport pada 2017 apabila tidak lagi menawarkan Daytona 675. Meskipun kembali dengan Daytona 765 edisi terhad – hanya 1,530 unit dihasilkan –  bagi meraikan kejayaan menjadi pembekal enjin Moto2 pada 2020, tiada lagi model Daytona dihasilkan selepas itu. 

Dalam pada itu, Daytona 660 akan mengguna pakai enjin tiga silinder 660cc yang sama terdapat pada Trident 660 dan Tiger Sport 660. Mengambil kira faktor itu, kami juga menjangkakan Daytona 660 ini akan menawarkan 80hp dan 64Nm. 

Dari segi rekaan, Daytona 660 jelas meminjam beberapa ciri daripada jentera model 660 sedia ada termasuk lampu depan dari Tiger Sport 660. Namun, Daytona 660 ini masih lagi datang dengan beberapa aspek serba baharu antaranya panel badan dan reka bentuk tangki. 

Buat masa ini maklumat terperinci masih lagi samar namun segalanya akan terjawab pada 6 Januari depan. 

Google ads
Back to top button